KUALA LUMPUR – Perdana Menteri mengucapkan tahniah kepada Presiden Donald J. Trump atas pelantikannya sebagai Presiden Amerika Syarikat yang ke-47.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap dapat bekerjasama dengan Trump untuk mengukuhkan hubungan yang teguh, saling melengkapi dan berpandangan ke hadapan antara Malaysia dan Amerika Syarikat.
“Sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, saya berharap untuk mengalu-alukan Presiden Trump ke Malaysia, mengesahkan penglibatan baharu Amerika dengan rantau kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anwar menyifatkan Trump membawa pendekatan unik dalam menangani cabaran domestik dan global, seperti yang dibuktikan oleh peranan penting beliau dalam memudahkan gencatan senjata Gaza walaupun sebelum pelantikannya.
“Malaysia bersedia untuk bekerjasama dalam keutamaan bersama ketika pentadbiran Trump berusaha untuk melakar zaman kegemilangan baharu bagi Amerika,” ujarnya. – MalaysiaGazette