SYDNEY – Penemuan bebola misteri yang memaksa penutupan beberapa pantai di Sydney minggu lalu didapati mengandungi asid lemak tepu, E. coli dan bakteria najis.
Northern Beaches Council berkata, ia telah menghantar serpihan itu kepada Pihak Berkuasa Perlindungan Alam Sekitar (EPA) New South Wales untuk analisis lanjut.
Sembilan pantai, termasuk tempat popular Manly dan Dee Why, telah ditutup pada 14 Januari selepas bebola sebesar marmar dihanyutkan.
Ia berlaku beberapa bulan selepas beribu-ribu gumpalan hitam mula muncul di pantai bandar pada bulan Oktober, mendorong pihak berkuasa menutup beberapa pantai yang paling terkenal selama beberapa hari dan mengarahkan pembersihan besar-besaran.
Bebola terbaharu itu telah dibersihkan dari pantai pelabuhan minggu ini, kata Northern Beaches Counci dalam kenyataannya.
Pada masa sama, ia menggesa sesiapa yang melihat bebola itu supaya tidak memegangnya dan menghubungi pihak berkuasa.
Selain asid dan bakteria, bebola itu juga mengandungi batu apung gunung berapi.
Datuk Bandar Pantai Utara Sue Heins berharap analisis EPA akan “mengenal pasti sumber supaya mereka dapat menghentikan perkara ini daripada berlaku di pantai lain”.
“Kami terus melakukan pemeriksaan berkala ke atas pantai kami dan menggalakkan masyarakat melaporkan,” katanya.
Kumpulan pertama serpihan pada bulan Oktober pada mulanya dipanggil “bola tar” didapati mengandungi segala-galanya daripada minyak masak dan molekul buih sabun, kepada ubat tekanan darah, racun perosak, rambut, methamphetamine dan ubat veterinar.
Para saintis berkata, bebola itu menyerupai gumpalan lemak, minyak dan gris – selalunya dipanggil “fatbergs” – yang biasanya terbentuk dalam sistem kumbahan.
Tetapi Sydney Water telah melaporkan bahawa loji rawatan airnya beroperasi seperti biasa dan tiada isu yang diketahui berkaitan sistem sisa di bandar itu. – Agensi