PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan akan mendakwa bekas Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) membabitkan dua pertuduhan sebelum akhir bulan ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, ia selepas pihaknya melengkapkan kertas siasatan dan telah menyerahkannya kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) pada 13 Disember lalu.
“SPRM telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
“Hasil keputusan TPR telah mengesyorkan dua pertuduhan terhadap bekas Pengurus Besar Nafas.
“Pendakwaan akan dilakukan selewatnya akhir bulan ini,” katanya pada sidang khas di ibu pejabat SPRM, di sini, hari ini.
Pada akhir Oktober lalu, Azam mengesahkan pihaknya memulakan siasatan dan pembongkaran berhubung penyelewengan dan ketirisan projek pembekalan baja padi sebuah pertubuhan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Siasatan membabitkan kes disyaki unsur rasuah membabitkan pembekalan baja padi bagi kontrak yang dianugerahkan kepada Nafas sebanyak RM1.8 billion.
Sementara itu, Azam menambah, TPR memutuskan tiada kes ke atas siasatan dakwaan salah laku pegawai tertinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil elaun tanpa kelulusan Ahli Majlis badan induk itu. – MalaysiaGazette