Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah.

KUALA LUMPUR – Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah mengingatkan semua Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang bahawa setiap dasar dan keputusan yang diambil perlulah berasaskan kepentingan rakyat.

“Dengarlah suara mereka, peka kepada masalah dan keperluan mereka. Rakyat adalah tunjang kekuatan negeri dan adalah tanggungjawab kita bersama untuk memastikan mereka hidup dalam keadaan aman, makmur, dan sejahtera,” titah Sultan  Pahang.

Baginda bertitah demikian pada majlis mengurniakan Surat Cara Pelanjutan Tempoh Pelantikan kepada Exco Kanan.

Mereka yang terlibat ialah Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan, Datuk Seri Mohd Soffi Abd.Razak; Exco Hal Ehwal Agama lslam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli, Datuk Seri Syed lbrahim Syed Ahmad.

Selain itu, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan, Datuk Ir. Razali Kassim dan Exco Pelaburan, Perindustrian,Sains,Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohamad Nizar Najib.

Turut dikurniakan surat berkenaan ialah Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Datuk Sabariah Said; Exco Komunikasi & Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan, Fadzli Mohamad Kamal; Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia, Sim Chon Siang; Exco Perpaduan,Pelancongan dan Kebudayaan Leong Yu Man serta Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan, Datuk Amizar Abu Adam.

Titah baginda, rakyat adalah tunjang kekuatan negeri itu dan adalah tanggungjawab bersama untuk memastikan mereka hidup dalam keadaan aman, makmur, dan sejahtera.

Baginda titah menyeru kepada semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang untuk terus bekerja keras dan melaksanakan tugas dengan penuh komitmen.

“Kesemuanya telah bekerja dengan baik, saya harap pasukan ini dapat terus beri komitmen secara telus dan bekerja kuat. Kepercayaan yang diberikan bukan amanah semata-mata, tapi tanggungjawab yang besar untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri ini terus berkembang.
“Saya ingin mengingatkan bahawa setiap dasar dan keputusan yang diambil perlulah berasaskan kepentingan rakyat,” titah baginda.

Baginda turut berharap agar setiap ahli-ahli majlis sentiasa meletakkan kepentingan Negeri Pahang di hadapan dan kesetiaan kepada negeri ini haruslah mengatasi segala kepentingan lain.

“Pahang adalah tanah tumpah darah kita, dan segala usaha serta pengorbanan haruslah ditumpukan untuk kemajuan negeri dan Kerajaan KDPB Sultan Pahang ini.

“Saya juga ingin menyeru agar semua jabatan dan agensi di bawah kerajaan negeri mengambil langkah proaktif untuk memudahkan urusan birokrasi rakyat. Proses yang cekap dan mesra rakyat akan membantu mengurangkan beban mereka serta menunjukkan komitmen kita dalam memberikan perkhidmatan terbaik,” titah baginda. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here