PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Razak menafikan penamatan jawatan Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai Peguam Negara mempunyai kaitan dengan cadangan pendakwaan terhadap beliau.
Bekas Perdana Menteri memberitahu Mahkamah Tinggi, laporan media bahawa wujud draf pertuduhan terhadapnya pada 2015, sebagai khabar angin.
Ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar, Najib tidak bersetuju Abdul Gani dipecat sebaliknya jawatan sebagai Peguam Negara ditamatkan atas beberapa faktor termasuk masalah kesihatan.
Sehubungan itu, beliau tidak bersetuju dengan cadangan pendakwaan bahawa penamatan jawatan Abdul Gani yang juga pendakwa raya, ada kaitan dengan siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Kamal Baharin: Datuk Seri ingat pada 2015, terdedah dalam media sosial bahawa terdapat draf pertuduhan terhadap Datuk Seri? Kecoh ketika itu, Datuk Seri ingat?
Najib: Tidak ingat, ada khabar angin.
Kamal Baharin: Abdul Gani dipecat dari jawatan Peguam Negara, itu fakta yang tidak dipertikaikan, Datuk Seri setuju?
Najib: Dia bukan dipecat tapi ada masalah lain termasuk kesihatan.
Kamal Baharin: Dalam pernyataan saksi, Datuk Seri ada sebut cadangan melantik Abdul Gani sebagai hakim Mahkamah Persekutuan. Adakah beliau setuju?
Najib: Ketika itu saya tidak bincang dengan dia tapi proses telah bermula dan beliau tidak melepasi proses itu.
Kamal Baharin: Oleh kerana Abdul Gani tidak dilantik sebagai hakim Mahkamah Persekutuan, kenapa beliau dipecat?
Najib: Beliau ada masalah termasuk kesihatan.
Najib, 71, menyatakan demikian ketika membela diri terhadap empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.
Kamal Baharin kemudian merujuk kepada keterangan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Ali Hamsa (ketika itu) yang menyerahkan sendiri surat penamatan jawatan Abdul Gani.
Mahkamah diberitahu, Abdul Gani ditamatkan perkhidmatan kerana Najib hilang kepercayaan terhadap beliau.
“Kalau saya tiada kepercayaan terhadap Abdul Gani, saya tidak `angkat’ nama beliau sebagai hakim,” ujar Najib.
Pada prosiding itu, Najib turut menafikan beliau mengeluarkan arahan untuk menukar pucuk pimpinan dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan siasatan kes 1MDB.
Ujar beliau, penukaran jawatan Ketua Pesuruhjaya, SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed yang digantikan dengan Tan Sri Dzulkifli Ahmad, tiada mengena dengan siasatan terhadapnya.
Gani Patail dilucutkan jawatan pada Julai 2015 atas alasan masalah kesihatan dan digantikan dengan Tan Sri Mohamed Apandi Ali. Abu Kassim pula digantikan oleh Dzulkifli pada 2016 sebelum bersara wajib pada 5 Disember 2020.
Menjawab mengenai pembubaran Pasukan Petugas-Petugas Khas yang menyiasat 1MDB, Najib berkata ia disebabkan penubuhannya tidak sah dan tidak mematuhi peraturan kerana penubuhannya bukan di bawah kuasa Peguam Negara.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Sequerah bersambung hari ini. – MalaysiaGazette