GEORGE TOWN – Dua rakan masing-masing dijatuhi hukuman penjara selama tiga bulan dan denda RM2,000 oleh dua Mahkamah Majistret, di sini, hari ini kerana menyamar sebagai anggota polis serta menyimpan dan memiliki gari, pada Khamis lalu.
Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi menjatuhkan hukuman masing-masing denda RM2,000 dan enam bulan penjara jika gagal bayar denda tersebut terhadap Mohamad Hafifi Abdullah, 33 dan Mohamad Nazrin Misbah, 35, selepas mereka mengaku bersalah dengan sengaja memiliki dan menyimpan sepasang gari bertulis ‘Boss’ serta satu sarung gari yang mempunyai tulisan ‘Polis’ termasuk sebatang anak kunci.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di alamat No 353-B Tingkat Sungai Gelugor 2, dalam Daerah Timur Laut, jam 9.30 malam pada 16 Januari lalu.
Bagi kesalahan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 89 Akta Polis 1967 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding Timbalan Pendakwa Raya, M. Darrshini meminta mahkamah memberikan hukuman setimpal namun peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon denda minima atas alasan Mohamad Hafifi bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan pendapatan RM1,400 manakala Mohamad Nazrin pula, berpendapatan RM1,500 sebulan sebagai penghantar e-hailing.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret 2, kedua-dua mereka didakwa secara bersama berpura-pura sebagai penjawat awam iaitu polis dan menunjukkan satu keping gambar menyerupai kad kuasa di alamat dan masa yang sama.
Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Aqilah Khalil ketika prosiding meminta hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh kerana menyalahguna nama PDRM bagi kepentingan peribadi namun YBGK yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon hukuman ringan.
Majistret Mohamad Azlan kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama tiga bulan bermula dari tarikh tangkap.
Di mahkamah sama, Mohamad Hafifi turut dijatuhi hukuman penjara tiga bulan selepas mengaku bersalah dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa yang juga pemegang kad UNHCR.
Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara tidak lebih setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-dua sekali. – MalaysiaGazette