TEHRAN – Ketua staf tentera Israel mengumumkan peletakan jawatan susulan kegagalan keselamatan dan perisikan untuk menghalang serangan mengejut oleh Hamas pada 7 Oktober 2023.
Leftenan Jeneral Herzi Halevi memberitahu Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan Menteri Perang Israel Katz pada hari Selasa, beliau akan meletakkan jawatannya berkuat kuasa 6 Mac ini.
“Kegagalan saya menggalas tanggungjawab ini menghantui saya setiap hari dan setiap jam. Ini akan berterusan sepanjang hayat saya,” tulisnya.
Sejurus selepas pengumuman Halevi, Ketua Komando Tentera Israel, Yaron Finkelman, turut mengumumkan peletakan jawatannya.
Sementara itu, ketua parti pembangkang Yisrael Beitenu, Avigdor Liberman, menyeru Netanyahu dan seluruh menteri kabinet “untuk mengambil tanggungjawab dan mengikut jejak Halevi”.
Halevi adalah tokoh Israel paling kanan meletak jawatan kerana kegagalan menghentikan Operasi Ribut Al-Aqsa yang diketuai oleh Hamas, yang menyeabkan kira-kira 1,200 anggota tentera Israel dan peneroka haram terbunuh dan 250 yang lain telah ditawan.
Israel terpaksa menerima perjanjian gencatan senjata, kebanyakannya atas syarat Hamas, minggu lalu untuk memulangkan tawanan. – Agensi