PUCHONG – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu disifatkan gagal menjalankan tugasnya dalam menyelesaikan isu beras putih tempatan yang berlarutan lebih dua tahun di negara ini.
Malah Ketua Kluster Makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, Mohamad atau lebih dikenali Mat Sabu juga tidak bertanggungjawab untuk serius menangani isu keterjaminanan makanan itu untuk rakyat.
Beliau turut mendakwa peranan Bahagian Kawal Selia Padi Dan Beras tidak berkesan dalam membantu menteri mencari penyelesaian dan hanya menjanjikan kajian demi kajian yang tidak ada kesudahannya.
“Saya amat kecewa kerana isu beras tempatan belum lagi selesai yang memasuki dua tahun dan rakyat tertanya-tanya ke manakah beras tempatan.
“Tidak siapa pun yang boleh jawab dan ada yang sengaja tidak jawab. Sudah tentu dalam negara ini, ada jabatan dan Kementerian yang bertanggungjawab baik dari segi pengeluaran dan penggunaaan.
“Tiba-tiba dua hari lepas Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengeluarkan kenyataan akan mencadangkan beras campuran untuk menyelesaikan krisis beras tempatan di negara ini.
“Sebenarnya kita tidak ada krisis beras cuma harga beras tinggi daripada sepatutnya. Ini menyebabkan rakyat terpaksa berbelanja lebih,” katanya pada satu sidang media di sini hari ini.
Syed Abu Hussin Hafiz yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang turut memberi amaran kepada Mohamad bahawa rakyat sedang menilai apa tindakan yang dilakukan kementerian sebelum ini.
“Tidak payah tahun ini, hendak kajian, berapa lama nak kaji? Come on lah Menteri Pertanian, rakyat menilai sebenarnya. Isu beras pun tidak boleh selesai.
“Macam mana ini komoditi yang lain? Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari-hari bercakap mengenai kos sara hidup tapi menteri buat tidak peduli sahaja. No respon,” katanya.
Mengulas lanjut, Syed Abu Hussin Hafiz turut menggesa kerajaan untuk meletakkan portfolio urusan padi dan beras padi di bawah badan itu.
Beliau berkata, cadangan mengambil tanggungjawab untuk menyelesaikan isu beras dalam negara akan dikemukan ketika sidang Parlimen bulan depan.
“Saya hendak minta Perdana Menteri meletakkan portfolio urusan padi, penambahan yield (pengeluaran) padi dan urusan beras diletakkan di bawah Naccol. Saya mengambil tanggungjawab untuk selesaikan isu ini.
“Bagi saya masa tiga bulan sahaja dan saya boleh selesaikan. Saya akan buat cadangan tanpa ada gangguan.
“Sebab itu saya minta, seluruh isu beras padi dalam negara diletakkan di bawah NACCOL sementara sahaja. Bukan saya minta lama-lama,” katanya. – MalaysiaGazette