SHAH ALAM – Seksyen 2 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dari Persimpangan Bertingkat SKVE ke Persimpangan Bertingkat SAE dibuka kepada pengguna lebuh raya bermula jam 12.01 tengah malam ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, jajaran sepanjang 7.2 kilometer itu akan memendekkan masa perjalanan dari Shah Alam ke Banting dari satu jam kepada 25 minit sahaja.
“Jajaran Seksyen 2 ini adalah kesinambungan kepada jajaran Seksyen 1 yang telah dibuka kepada pengguna pada 31 Ogos 2024, iaitu dari Persimpangan Bertingkat Banting ke Persimpangan Bertingkat SKVE.
“Kemudahan itu menawarkan laluan alternatif yang amat diperlukan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan perumahan dan komersial sepanjang laluan sedia ada,” katanya ketika berucap merasmikan Jajaran Seksyen 2 WCE, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad dan Ketua Pengarah LLM, Datuk Ir. Sazali Harun.
Hadir sama, Pengerusi West Coast Expressway, Datuk Ir. Hamzah Hasan; Ketua Eksekutif, IJM Corporation Berhad, Datuk Lee Chun Fai dan Pengarah Urusan West Coast Expressway, Lyndon Alfred Felix.
Beliau berkata, sempena pembukaan jajaran itu, pengguna akan menikmati pemberian tol percuma di Lebuhraya WCE dari Plaza Tol SAE ke Persimpangan Bertingkat SKVE di kedua-dua arah selama sebulan, bermula tengah malam ini.
“Ia sebagai tanda penghargaan kepada pengguna yang memasuki Lebuhraya WCE dari Plaza Tol SAE ke Persimpangan Bertingkat SKVE (WCE).
“Pengecualian tol hanya akan diberikan sehingga Persimpangan Bertingkat SKVE (WCE). Kadar tol bagi jajaran sedia ada akan dikenakan seperti biasa mengikut kelas kenderaan masing-masing,” katanya.
Menurut Alexander, pengguna kini mempunyai laluan alternatif lebih mudah dari Banting menuju ke Shah Alam, Klang, Putrajaya, Kajang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Jelasnya, pembukaan jajaran ini akan menjadi pelengkap kepada Pelabuhan Klang sebagai hab logistik terbesar di Asia Tenggara dengan akses kini semakin mudah dan cepat.
“Laluan ini dijangka akan membantu mengurangkan kos operasi sektor logistik, mempermudah penghantaran barangan, dan seterusnya meningkatkan daya saing Malaysia di pentas antarabangsa.
“Jaringan lebuh raya ini dijangka menarik pelaburan ke kawasan perindustrian sedia ada seperti Pulau Indah, Telok Panglima Garang dan Bandar Botanik serta merangsang sektor industri dan komersial di sepanjang koridor ini.
“Selain daripada meningkatkan kelancaran pergerakan, Lebuhraya WCE turut menyediakan sambungan strategik ke Pelabuhan Klang yang bakal memanfaatkan sektor pengangkutan kargo,” katanya.
Pembukaan jajaran ini merupakan sebahagian daripada Lebuhraya WCE sepanjang 314.5 kilometer yang akan menghubungkan Banting di Selangor hingga ke Taiping di Perak. – MalaysiaGazette