BATU PAHAT – Polis sedang memburu pemandu kereta berwarna kuning yang meloloskan diri semasa dikejar polis dalam kejadian di berhampiran Plaza Tol Yong Peng Utara, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian berlaku semasa kereta peronda polis (MPV) melakukan rondaan dan ternampak sebuah kereta dipandu dalam keadaan mencurigakan.
“Siren dibunyikan dan beacon light dinyalakan serta pemandu diarahkan menghentikan kereta dengan pembesar suara dan isyarat tangan.
“Suspek kemudian berhentikan kereta namun enggan bekerjasama untuk pemeriksaan lanjut dilakukan anggota polis sambil menunjukkan seorang wanita sedang memegang bayi di tempat duduk penumpang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum itu, tular beberapa video memaparkan kejadian terbabit yang dirakam orang awam.
Shahrulanuar berkata, suspek kemudian bertindak nekad memecut laju keretanya untuk melarikan diri.
Menurutnya, dalam kejadian berkenaan tidak berlaku pelanggaran kenderaan atau kecederaan mana-mana pihak.
Jelas beliau, suspek telah dikenal pasti dan usaha sedang giat dilakukan untuk menahannya bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seskyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (IPD) Batu Pahat, Inspektor Muhammad Faidz Md Khalid di talian 017-3245137 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – MalaysiaGazette