JOHOR BAHRU – Seorang lelaki yang dalam perjalanan pulang dari tempat kerja maut diserang sakit jantung sebelum melanggar sebuah van di Jalan Permas Utara di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian itu berlaku pukul 5 petang melibatkan pacuan empat roda dipandu mangsa dengan van terbabit.
“Kemalangan tersebut dipercayai berlaku apabila mangsa iaitu seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun yang sedang memandu pacuan empat roda dalam perjalanan balik kerja.
“Sampai di tempat kejadian, mangsa disyaki terkena serangan jantung dan hilang kawalan lalu melanggar van yang dalam kedudukan parking di sebelah kanan jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, akibat kejadian tersebut mangsa yang tidak mengalami kecederaan fizikal dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini untuk menerima rawatan lanjut.
Waris mangsa ujarnya, memaklumkan dari Jabatan Forensik HSI pada pukul 9 malam tadi bahawa lelaki terbabit meninggal dunia semasa menerima rawatan di unit kecemasan.
Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Polis memohon saksi awam yang melihat kejadian tersebut agar tampil ke Balai Trafik JBS untuk memberi keterangan kepada pihak polis atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Zulpaka Bambo 014-8861791,” tambahnya.- MalaysiaGazette