KUALA LUMPUR – Gerakan Nasionalis (GN) menggesa kerajaan menaikkan semula harga belian padi kepada kadar semasa iaitu RM1,500 hingga RM1,800 bagi setiap tan metrik dalam usaha mengurangkan beban pesawah.
Pengerusinya, Aminuddin Yahaya berkata, penetapan harga lantai padi pada RM1,300 bagi setiap tan metrik memberi tekanan besar kepada pesawah yang berdepan peningkatan kos operasi.
“Tindakan menurunkan harga belian padi ini akan menyukarkan pesawah untuk mengekalkan aktiviti pertanian mereka.
“Kenaikan kos seperti benih, sewa tanah dan perbelanjaan lain dijangka memburukkan lagi situasi, sekali gus meningkatkan risiko pesawah terpaksa menamatkan operasi,” katanya dalam sidang media di Hotel Adamson, Jalan Chow Kit, di sini, hari ini.
Menurut beliau, harga kawalan beras yang rendah tidak seimbang dengan kos penanaman padi yang tinggi dan ini akan mengancam kelangsungan sektor pertanian padi negara.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan beberapa langkah bagi memastikan kebajikan pesawah terus dipelihara selain perlu menaikkan harga lantai.
“Agensi seperti Bahagian Pembangunan Industri Padi dan Lembaga Pertanian Peladang memainkan peranan aktif dalam memantau situasi ini dan pemantauan yang ketat diperlukan bagi mengelakkan sebarang bentuk penindasan terhadap pesawah.
“Penglibatan wakil pesawah dalam setiap perbincangan berkaitan polisi juga penting kerana diyakini dapat mewujudkan keputusan yang memberi manfaat kepada semua pihak, sekali gus memastikan keadilan dalam sektor pertanian padi,” ujarnya.
Menurut beliau, kerajaan perlu mengambil serius cadangan ini demi memastikan kelangsungan hidup pesawah dan kestabilan industri pertanian padi negara.
Tambahnya, pihak kerajaan juga diingatkan agar tidak mengabaikan kepentingan kumpulan ini yang menjadi tunjang kepada keperluan makanan negara. – MalaysiaGazette