Proton Saga terlibat kemalangan dengan dua lori di Kilometer 13, Jalan Bukit Changgang-KLIA, Kuala Langat, semalam.

KUALA LANGAT – Nyawa seorang penyelia Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hampir melayang selepas kereta Proton Saga berwarna putih yang dipandunya dilanggar lori jenis Sinotruk berwarna biru di Kilometer 13, Jalan Bukit Changgang-KLIA di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, dalam kejadian jam 7.54 malam itu, lori Sinotruk mengubah laluan selepas lampu isyarat bertukar dan kemudiannya melanggar sisi belakang sebelah kiri Proton Saga.

“Semasa lampu isyarat bertukar dari merah ke hijau, pemandu lori Sinotruk bergerak dan memberi isyarat ke kiri untuk mengubah haluan ke lorong sebelah kiri

“Ketika sedang bergerak untuk menukar lorong, lori Sinotruk telah melanggar Proton Saga di sisi belakang sebelah kiri.

“Ia menyebabkan Proton Saga itu berpusing, lalu melanggar bahagian sisi hadapan sebelah kiri lori jenis Scania berwarna putih,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman video papan pemuka berdurasi 34 saat menunjukkan Proton Saga dilanggar lori Sinotruk, dipercayai membawa muatan selepas menukar laluan di lampu isyarat di KM13, Jalan Bukit Changgang-KLIA, semalam.

Mohd Akmalrizal berkata, bagaimanapun ketiga-tiga pemandu kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Pemandu lori Sinotruk, 60-an; Proton Saga, 30-an dan lori Scania, 40-an yang masing-masing warga tempatan tidak mengalami apa-apa kecederaan,” katanya.

Kesemua mereka yang terlibat kemalangan itu telah hadir ke Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Kuala Langat untuk membuat laporan polis dan ketiga-tiga pemandu telah diambil rakaman percakapan.

Kes ini diklasifikasikan di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian kemalangan ini boleh menghubungi mana-mana Balai Polis yang berhampiran.

Katanya, saksi juga boleh terus menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Mohd Khairul Mohd Adnan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di talian 017-2824458 atau 03-31872222,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here