SHAH ALAM – Pembinaan projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) sepanjang 314.5 kilometer yang menghubungkan Banting, Selangor hingga ke Taiping, Perak kini 95 peratus siap.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, baki pembinaan 5 peratus projek itu berada di Selangor.
“Projek Lebuhraya WCE secara keseluruhannya meliputi 11 seksyen, merangkumi tujuh seksyen di Selangor dan empat seksyen di Perak.
“Ia bermula dengan pembukaan Seksyen 6 di Assam Jawa, diikuti Seksyen 11 yang menghubungkan Beruas ke Taiping Selatan, serta Seksyen 1 dari Banting ke SKVE pada 31 Ogos lalu, manakala Seksyen 2 sepanjang 7.2 kilometer akan dibuka esok.
“Projek WCE di Perak semuanya sudah selesai, ada tiga seksyen lagi yang masih belum siap di Selangor,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jajaran Seksyen 2 WCE, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad dan Ketua Pengarah LLM, Datuk Ir. Sazali Harun.
Hadir sama, Pengerusi West Coast Expressway, Datuk Ir. Hamzah Hasan; Ketua Eksekutif, IJM Corporation Berhad, Datuk Lee Chun Fai dan Pengarah Urusan West Coast Expressway, Lyndon Alfred Felix.
Menurut Nanta, tiga seksyen projek pembinaan Lebuhraya WCE itu dijangka dibuka secara berperingkat dan salah satu daripadanya akan dibuka kepada pengguna selewat-lewatnya pertengahan 2026.
“Kalau boleh kita nak buka lebih awal dari tarikh jangkaan itu, kita cuba siapkan kesemua tiga jajaran seksyen projek ini secepat yang mungkin,” katanya. – MalaysiaGazette