JOHOR BAHRU – Hasrat seorang pemuda menjana kentungan dalam pelaburan produk kecantikan tidak kesampaian apabila ditipu RM553,095.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, semuanya bermula apabila mangsa iaitu seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun menerima mesej pada bulan lalu.
“Mangsa mendakwa pada 9 Disember tahun lalu, dia menerima mesej melalui aplikasi Instagram berkaitan pelaburan produk kecantikan daripada seorang wanita bernama Chan Luna.
“Mangsa tertarik dengan pelaburan itu, lalu menghubungi penama melalui aplikasi Whatsapp menerusi nombor 016-5784858.
“Mangsa turut diberikan penerangan melalui pautan http://seller.zoovy.best/users/login yang menjanjikan pulangan keuntungan sebanyak 10 peratus daripada jumlah modal yang dilaburkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, mangsa yang tertarik dengan keuntungan yang dijanjikan telah melakukan sebanyak 41 transaksi ke 19 akaun berbeza yang diberikan iaitu bermula 19 Disember tahun lalu hingga Jumaat lalu dengan jumlah keseluruhan modal sebanyak RM553,095.
Menurut beliau, mangsa menyedari dirinya telah ditipu apabila diminta untuk membuat bayaran tambahan ketika cuba mengeluarkan keuntungan sebanyak RM18,000 seperti tercatat dalam pautan yang diberikan.
Lelaki terbabit katanya, membuat laporan semalam mendakwa ditipu pelaburan tersebut yang tidak wujud, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu.
“Kita juga akan menjalankan siasatan yang meliputi pembabitan keldai akaun dan jika ada, tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun yang terlibat,” katanya.
Pada masa sama, beliau menasihati orang ramai supaya lebih peka dengan tren semasa jenayah komersial bagi mengelakkan diri menjadi mangsa penipuan.
Masyarakat juga ujarnya, dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai sebarang tawaran pelaburan atau pekerjaan atas talian yang menjanjikan kaedah yang mudah serta komisen yang tinggi. – MalaysiaGazette