PUTRAJAYA – “Pendakwaan terhadap saya `tempang’ sejak awal lagi kerana tidak berpandukan kepada asas siasatan yang betul, sebaliknya bermotif politik,” tegas Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi hari ini.
Najib turut mengulangi pendirian bahawa pihak pendakwaan bersekongkol dengan pasukan siasatan untuk menganiaya beliau dengan pertuduhan berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Bekas Perdana Menteri menyatakan demikian ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib pada prosiding bela diri di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Najib, 71, membela diri terhadap empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.
Ahmad Akram: Datuk Seri kata pendakwaan bersekongkol dengan pasukan siasatan aniaya Datuk Seri?
Najib: Ya lebih-lebih lagi lepas pilihan raya dan Peguam Negara ketika itu.
Ahmad Akram: Sepanjang perbicaraan kami sudah bentangkan melalui keterangan saksi dan dokumen berdasarkan siasatan.
Najib: Saya sudah masukkan dalam pernyataan saksi berdasarkan fakta. Saya tidak mahu ulang, saya penat.
Ahmad Akram: Saya cadangkan kami (pendakwaan) tidak mempunyai dendam peribadi terhadap Datuk Seri.
Najib: Saya tidak kata pihak pendakwaan tapi siasatan awal terhadap saya.
Ahmad Akram: Saya katakan, tiada seorang pun anggota pasukan pendakwaan yang pernah bertemu Datuk Seri sebelum kes ini?
Najib: Yang saya maksudkan ialah pendakwaan yang dikemukakan terhadap saya dibuat berdasarkan pertuduhan yang cacat.
Ahmad Akram: Tiada sebab mereka hendak mereka-reka dalam siasatan.
Najib: Itu saya tidak boleh jawab.
Pada prosiding itu, pihak pendakwaan juga menyatakan, bekas Perdana Menteri mengetahui beliau disiasat sejak 2015 berkaitan kemasukan wang dalam jumlah yang besar ke dalam akaunnya.
Najib bagaimanapun menyatakan, beliau mengetahui ada siasatan namun tidak mengetahui butiran terperinci mengenainya.
Perbicaraan di Istana Kehakiman bersambung esok. – MalaysiaGazette.