GAZA- Gencatan senjata yang berkuatkuasa di Gaza pada Ahad dicemari dengan tindakan tidak berperikemanusiaan askar Israel membunuh seorang kanak-kanak Palestin.
Dalam video yang viral di media sosial Zakariya Hameed Yahya Barbakh dirakam menjadi sasaran pembunuhan penembak tepat askar zionis.
Memetik laporan agensi berita Wafa, sumber tempatan mengesahkan kejadian berlaku di bulatan Al-Awda di tengah Rafah ketika penduduk mula pulang ke kediaman masing-masing yang telah musnah.
Dalam video terbabit seorang remaja cuba melindungi mayat Barbakh namun dia turut menjadi sasaran dan cedera.
Pada hari sama, seorang orang awam dan seorang kanak-kanak terbunuh dan sembilan yang lain termasuk kanak-kanak cedera akibat tembakan Israel di bandar Rafah.
Perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa pada 11.15 pagi (waktu tempatan) pada Ahad bagaimanapun, pelanggaran perjanjian oleh tentera pendudukan terus meragut nyawa orang awam di Gaza.
Pada hari pertama gencatan senjata, 90 warga Palestin dari penjara Israel di Tebing Barat dibebaskan pada awal pagi Isnin, di bawah pertukaran tahanan pertama perjanjian gencatan senjata Hamas-Israel.
Kepulangan kumpulan itu yang dibawa bas Palang Merah pada jam 1 pagi (waktu tempatan) disambut tangisan kegembiraan ribuan penduduk Palestin khususnya ahli keluarga mereka yang setia menanti di bandar Beitunia dan Ramallah.
Pembebasan itu melibatkan 69 wanita dan 21 remaja serta kanak-kanak lelaki yang berasal dari Tebing Barat dan Baitulmaqdis.
Dalam kempen pembunuhan beramai-ramai di Gaza lebih setahun sejak Oktober 2023 tentera Israel telah membunuh lebih 47,000 penduduk Gaza dengan sebilangan besar adalah bayi, kanak-kanak, wanita dan orang tua. – Agensi