PUTRAJAYA – Cadangan untuk melaksanakan pusingan kerja semua penjawat awam yang berkhidmat lebih lima tahun di kaunter perkhidmatan kerajaan dialu-alukan oleh Menteri Dalam Negara (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Saifuddin memberi gambaran cadangan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mampu menangani masalah integriti yang boleh menjejaskan kepercayaan rakyat.
Jelasnya, sistem pusingan kerja juga mampu mewujudkan suasana kerja lebih kondusif kepada penjawat awam.
“Saya fikir ini sangat bertepatan buat kami, di KDN ada agensi yang membabitkan perkhidmatan kaunter dan paling popular ialah Jabatan Imigresen, ada Jabatan Pendaftaran dan sebagainya.
“Banyak sistem kaunter perkhidmatan adalah berasaskan secara langsung dengan rakyat, jika tanya reaksi saya, pastinya saya mengalu-alukan perkara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau reruai pada EXPO dan Sidang Kemuncak Keselamatan Antarabangsa Asia (AISSE25) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Semalam, Shamsul Azri mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meneliti dan melaksanakan pusingan kerja semua penjawat awam yang berkhidmat lebih lima tahun di kaunter perkhidmatan kerajaan.
Ini kerana menurut beliau tempoh lima tahun untuk bertugas di kaunter perkhidmatan disifatkan terlalu lama. – MalaysiaGazette