Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi pegawai penjara ketika hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 15 OGOS 2023. (GAMBAR FAIL)

PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Razak menegaskan di Mahkamah Tinggi hari ini, beliau tiada kepentingan peribadi dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang mewajarkannya mencampuri siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bekas Perdana Menteri berpendirian, rakaman audio di antara beliau dan Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang ketika itu seorang timbalan pendakwa raya (TPR) pada 2016, tiada kena mengena dengan siasatan yang dilakukan terhadap 1MDB.

Beliau turut menafikan perbualan telefon dengan Dzulkifli bertujuan untuk mendapat maklumat terkini berhubung siasatan yang dilakukan terhadapnya.

Najib menyatakan demikian ketika disoal balas oleh TPR Ahmad Akram Gharib berhubung kewajaran beliau yang ketika itu Perdana Menteri untuk berhubungan dengan pihak yang terlibat dalam siasatan 1MDB.

Rakaman audio perbualan itu didedahkan oleh bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya pada awal 2020 yang kemudiannya digunakan oleh pasukan pendakwaan dalam perbicaraan kes 1MDB.

Dzulkifli pada asalnya bertugas di Jabatan Peguam Negara (AGC), kemudiannya dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 1 Ogos 2016 menggantikan Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Ahmad Akram: TPR Dzulkifli memberi maklumat atau status siasatan terhadap Datuk Seri, setuju?
Najib: Setuju.

Ahmad Akram: Datuk Seri ketika itu Perdana Menteri, tidak sepatutnya menerima penjelasan daripada seorang TPR mengenai siasatan itu?
Najib: Saya tidak campur tangan sama sekali.

Ahmad Akram: Menjadi satu kesalahan untuk mendengar maklumat terkini mengenai siasatan terhadap Datuk Seri?
Najib: Tidak setuju.

Najib, 71, menyatakan demikian ketika membela diri terhadap empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah di Istana Kehakiman di sini bersambung esok. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here