PETALING JAYA – Sindiket penyeludupan minuman keras termasuk minuman tenaga bergula dengan nilai cukai dianggarkan RM1 juta ditumpaskan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada 9 Januari lalu.
Pengolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, kesemua barangan itu dirampas menerusi tiga serbuan berasingan yang dilakukan pasukan Bahagian JKDM Zon Tengah Unit 1 Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL).
Jelasnya, dalam serbuan pertama dan kedua dilakukan di sebuah gudang berasingan di kawasan Perindustrian Balakong kira-kira jam 11.30 pagi dan Taman Bukit Belimbing pada jam 1.30 petang hari yang sama.
“Dalam serbuan pertama, kita telah menahan empat orang lelaki membabitkan tiga warga China dan seorang warga Myanmar berusia antara 30 hingga 45 tahun yang juga pekerja gudang di premis berkenaan.
“Hasil pemeriksaan di kedua-dua gudang itu, kita menemukan 10,292 liter minuman keras pelbagai jenama dengan anggaran nilai rampasan RM468,396.
“Bagi jumlah cukai dan duti yang terlibat untuk kedua-dua rampasan dianggarkan berjumlah RM958,450,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Katanya, modus operandi dijalankan sindiket terbabit adaah menyewa gudang di kawasan perindustrian dan persendirian bagi menyimpan bekalan minuman keras sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
“Sindiket menyewa di gudang terbabit dengan kadar sewaan RM6,500 sebulan dengan menggunakan nama pihak ketiga dan siasatan siapa penyewanya atau pemilik premis sedang dalam siasatan,” ujarnya.
Sementara itu, dalam serbuan ketiga, pihaknya berjaya mematahkan cubaan membawa masuk produk minuman tenaga dari India berduti dengan sebuah kontena di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang.
“Pemeriksaan dilakukan, menemukan 24,500 liter cecair disyaki minuman tenaga dengan gula dianggarkan bernilai RM172,200 dengan jumlah cukai dan duti dianggarkan berjumlah RM79,458.
“Siasatan awal mendapati, dagangan telah diikrarkan dengan tidak benar dan Borang Kastam 1 diikrarkan sebagai ‘Energy Drinks Zero Sugar’ dengan menggunakan kod tarif minuman tidak bergula bagi mengelak cukai dan duti terlibat.
“Minuman tenaga bergula diklasifikasikan sebagai barang bercukai di bawah Perintah Duti Kastam 2022 dan Perintah Duti Eksais 2024 di mana kadar duti import adalah sebanyak lima peratus, cukai jualan 10 peratus dan Duti Eksais sebanyak 0.90 sen perl liter,” ujarnya.
Berikutan itu Norlela menambah, kesemua kes terbabit akan disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – MalaysiaGazette