Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berucap pada sidang media membabitkan perkembangan terkini operasi-operasi yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Ibu Pejabat, Putrajaya pada petang ini. Foto MUHAIMIN MARWAN, 21 JANUARI 2025

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berpuas hati dengan pengisytiharan harta yang dibuat oleh dua anak Tun Dr Mahathir Mohamad kepada agensi anti rasuah itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mendedahkan jumlah aset Mokhzani bernilai kira-kira RM1 bilion dengan aset peribadinya sekitar RM360 juta.

Abangnya Mirzan pula, kata Azam memiliki jumlah asetnya bernilai RM246.2 juta dengan aset peribadi dianggarkan RM120 juta.

“Kedua-dua individu telah mengisytiharkan aset mereka secara peribadi kepada saya kerana saya mengeluarkan notis tersebut.

“Mereka telah mematuhinya dan saya berpuas hati dengan pengisytiharan aset mereka.

“Siasatan ini masih berjalan dan kami akan memberikan kemas kini selanjutnya,” katanya pada sidang media di ibu pejabat SPRM di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Azam turut memberitahu SPRM masih menyiasat harta yang diisytiharkan oleh bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin.

“Kami masih menyiasat aset yang diisytiharkan kepada kami dan perlu mengesahkan jumlahnya mengikut aduan yang dibuat.

“Begitu juga dengan isterinya, Toh Puan Na’imah yang kini didakwa di mahkamah kerana gagal mengisytiharkan hartanya,” katanya.

Pada 23 Januari tahun lalu, Na’imah, 67, didakwa di Mahkamah Sesyen kerana gagal mematuhi notis pengisytiharan hartanya termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah lain di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda RM100,000 jika sabit kesalahan.

Minggu lalu, Na’imah meminta Mahkamah Tinggi mengkaji semula pertuduhan pengisytiharan aset, dengan keputusan dijangka pada 18 Februari depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here