Dr Dzulkefly Ahmad

PUTRAJAYA – Pelaksanaan sistem Waktu Bekerja Berlainan (WBB) bagi pegawai perubatan pada Februari ini bergantung kepada keputusan Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC).

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia kerana pelaksanaan sistem syif waktu bekerja berperingkat-peringkat kekal sebagai perkara dalaman yang perlu ditangani oleh MAAC dan jabatan berkaitan.

Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan penuh sistem WBB memerlukan kelulusan rasmi daripada beliau sebagai menteri, selain daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Ini adalah aktiviti dalaman, sama ada WBB boleh atau patut dilaksanakan adalah perkara dalaman. Sama ada mereka mahu melaksanakannya atau tidak, terpulang kepada MAAC, seperti yang saya nyatakan.

“Keputusan sama ada untuk meneruskan sistem itu pada 1 Februari ini atau bila-bila, itu terpulang kepada mereka,” kata Dzulkefly pada sidang media di ibu pejabat Kementerian Kesihatan (KKM) di sini hari ini.

Malah, pemilihan mana-mana susunan jadual kerja adalah tertakluk kepada keupayaan dan ketersediaan jabatan dan pentadbiran hospital masing-masing, ujar beliau lagi.

Dzulkefly sekali mengulangi kenyataanya bahawa sistem WBB adalah pilihan dan tidak bertujuan untuk menggantikan sistem waktu bekerja semasa bagi pegawai perubatan.

Sebaliknya, ia berfungsi sebagai pilihan tambahan kepada sistem sedia ada.

“Surat itu, malangnya dibocorkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Dokumen itu adalah semata-mata pekeliling dalaman dan tidak sepatutnya menimbulkan kebimbangan orang ramai,” ujar beliau lagi.

Menurut beliau, setakat ini  tiada lagi tarikh tetap untuk pelaksanaan menyeluruh WBB.

Dalam kenyataan bertulisnya, Dzulkefly berkata, KKM mewujudkan MAAC pada Januari 2024 yang terdiri daripada 10 pakar klinikal yang bertugas di barisan hadapan hospital KKM, termasuk perubatan dalaman, obstetrik & ginekologi, ortopedik, pembedahan, radiologi, pediatrik, anestesia, kecemasan, dan perubatan keluarga dalam kalangan yang lain.

MACC dibentuk bagi mendapatkan maklum balas daripada pegawai perubatan di beberapa jabatan yang mempunyai bebanan kerja yang berintensiti tinggi.

Hasilnya, cadangan pendekatan baharu terhadap aturan jadual kerja yang berlainan daripada sistem atas panggilan dan sistem syif sedia ada.

Jelas beliau, sistem ini dibina oleh doktor di lapangan untuk doktor di lapangan setelah mengambil kira pelbagai input daripada pemegang taruh di pelbagai peringkat.

Usaha MAAC selama setahun mendapati ada keperluan segera untuk menambah baik sistem aturan kerja sedia ada. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here