Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar

JOHOR BAHRU – Polis menahan dua lelaki dan seorang wanita tempatan dipercayai terlibat kes bunuh seorang wanita yang ditemui mayatnya berlumuran darah dengan beberapa kesan tikaman dalam kereta Perodua Alza di Taman Ungku Tun Aminah di sini pada 1 Disember lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat wanita tersebut, 42, dengan kesan tikaman di bahagian dada, muka dan lengan dalam kereta tersebut yang diparkir di kawasan taman berkenaan pada pukul 6.30 pagi.

Susulan itu katanya, satu pasukan siasatan khas ditubuhkan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada 11 Januari lalu.

“Pihak polis berjaya menangkap tiga orang iaitu dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 31 hingga 48 tahun di kawasan Tampoi, Johor dan Setiawan, Perak.

“Hasil siasatan lanjut yang dijalankan terhadap tangakapan membawa kejayaan pihak polis merampas sebahagian senjata seperti gunting yang dipercayai digunakan untuk membunuh mangsa dan sepucuk pistol berserta 48 butir ball bearing yang disembunyikan di kawasan perumahan di Tampoi,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibawa bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan iaitu subahat membunuh, jika sabit kesalahan akan dihukum mati atau penjara antara 30 sehingga 40 tahun dan dikenakan 12 kali sebatan.

Jelas beliau, seorang daripada suspek turut berdepan dua pertuduhan iaitu Seksyen 201 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan hilangnya keterangan mengenai suatu kesalahan, jika sabit kesalahan perlu dipenjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Begitu juga katanya, suspek berkenaan disiasat bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 iaitu memiliki senjata, jika sabit kesalahan hendaklah dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Kumar memberitahu, kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor dan ketiga-tiga suspek akan dituduh di Mahkamah Majistet di sini pukul 9 pagi esok.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu proses pendakwaan. Sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah boleh disalurkan ke talian Hotline Polis Johor di 019-2792095 atau Bilik Gerakan di 07-2212999,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here