JOHOR BAHRU – Polis Kontinjen Johor menerima tiga laporan polis terhadap selebriti, Harith Iskander yang didakwa mempermainkan sentimen agama sebagai jenaka dalam media sosial.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, tiga laporan tersebut diterima di Johor Bahru Utara, Iskandar Puteri dan Kluang.
“Polis Kontinjen Johor mengesahkan menerima laporan berhubung hantaran berbaur penghinaan terhadap agama Islam oleh pemilik atau pengendali akaun Facebook Cecelia Yap Song KL dan Harith Iskandar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hantaran dalam Facebook dipercayai dimuat naik tiga hari lalu oleh Harith Iskandar yang mengandungi gambar secawan Ham Sap Kopi dengan kapsyen:
“Im so confused. My iman tergugat. This kopi will lead me down the wrong path in so many ways. Not just tempting me to become hamsap but ALSO confusing me with the word ‘ham’ in it. Ni untuk minum atau makan?
“I must make a polis report because I am so weak I have lost all ability to use logic. Who else is confused”.
Menurut Kumar, hantaran tersebut dikomen oleh Cecelia Yap Song KL dengan kenyataan: “All names with Mohammad..got to be renamed then“.
Katanya, polis Johor memandang serius serta memberi amaran sekeras-kerasnya terhadap mana-mana pihak yang memainkan sentimen raja, agama dan kaum (3R) dalam media sosial sehingga boleh membangkitkan perpecahan serta menggugat keharmonian masyarakat.
Menurutnya, tindakan tegas tanpa kompromi di bawah undang-undang sedia ada akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam.
Tambah beliau, kes itu disiasat bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan iaitu kenyataan dengan niat mahu melukakan perasaan agama seseorang dan Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan mendatangkan khianat awam dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum.
“Begitu juga disiasat bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan pelanggan,” ujarnya.
Terdahulu, pelawak juga usahawan, Shahrol Shiro membuat laporan polis terhadap Harith Iskander yang didakwa mempermainkan sentimen agama sebagai jenaka dalam media sosial.
Shahrol atau nama sebenarnya Shahrol Azizie Azmi, 40, dilaporkan membuat laporan di Balai Polis Kluang Johor susulan status terkini pelawak senior terbabit yang membuka ruang kepada netizen meninggalkan komen mempersenda agama.
“Apabila saudara Harith Iskander membuka ruang agama dijadikan satu bahan yang boleh dipersenda maka pengikut juga akan ikut serta dengan meninggalkan komentar mempersenda agama kita.
“Ini adalah satu perkara yang sangat kurang ajar. Jangan main-main tentang isu agama Islam ini.
“Perkara ini sudah melampau dan satu laporan polis dibuat mengenai hantaran tersebut,” ujar bekas anggota kumpulan Shiro itu dalam perkongsian Instagram dan turut memuat naik video yang menunjukkannya selesai membuat laporan polis, malam tadi. – MalaysiaGazette
kita tak nak kata dia jahil. tapi membuat lawak isu dan manipulasi tak boleh diterima. ini dah isu 3R. dia harus faham isu utama penggunaan logo halal tanpa disahkan halal. itu isu besar dan harus diambil tindakan. bukan dimanipulasi isu nama.