JOHOR BAHRU – Seorang remaja bawah umur antara tujuh lelaki didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini bagi pertuduhan melakukan penipuan pelaburan dalam talian yang tidak wujud di Taman Ekoflora di sini, minggu lalu.
Enam tertuduh terbabit, Choo Weng Seng, 39; Tan Chun Leong, 41; Sky Chang Ji Shiang, 20; Yap Wai Xien, 20; Ryan Wong Wor Yew, 24; Wess Lee Von Kim, 19, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Sementara itu, seorang lagi tertuduh berusia 17 tahun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin.
Berdasarkan kertas pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa sebagai pihak kepada suatu pakatan jahat dengan tujuan melakukan jenayah, bersetuju antara satu sama lain untuk melakukan perbuatan menyalahi undang-undang.
Mereka didakwa membuat penipuan pelaburan dalam talian yang tidak wujud yang bertentangan dengan Seksyen 417 Kanun Keseksaan.
Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 3 petang di Jalan Ekoflora 5/21, Taman Ekoflora, di sini pada 13 Januari lalu.
Pendakwaan dikemukakan di bawah Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama-sama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Remaja berkenaan boleh diperintahkan untuk dilepaskan dengan amaran atau diberikan bon berkelakuan baik dengan apa-apa syarat yang dikenakan oleh mahkamah, jika sabit kesalahan.
Tertuduh juga boleh diperintahkan membayar denda atau perintah khidmat masyarakat atau dihantar ke sekolah diluluskan atau ke Sekolah Henry Gurney.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nik Noratini Nik Azman dan kesemua tertuduh diwakili peguam, Dahlia Tan.
Mahkamah menetapkan 6 Mac depan sebagai sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan menjatuhkan hukuman.- MalaysiaGazette