BALIK PULAU – Lima lelaki termasuk empat pelajar sekolah direman empat hari bagi membantu siasatan kes langgar mati seorang pelajar berusia 17 tahun dipercayai ketika merempit di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu menghala Batu Maung di sini, semalam.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret, Chia Huey Ting bermula hari ini sehingga 25 Januari depan bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, empat suspek berusia 16 tahun dan seorang berumur 21 tahun itu tiba di pekarangan mahkamah jam 8.20 pagi bagi mendapatkan perintah reman.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, suspek berusia 16 tahun yang melanggar mangsa serah diri di balai polis semalam manakala empat lagi ditahan hasil soal siasat.
“Hasil soal siasat awal mendapati mangsa kemalangan itu tidak mengenali suspek.
“Selain itu, semakan lanjut juga mendapati suspek yang melanggar mangsa dan suspek berusia 21 tahun tidak mempunyai lesen manakala lain-lain mempunyai lesen memandu yang sah,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN
Media semalam melaporkan, seorang pelajar sekolah menengah maut dipercayai ketika merempit di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu menghala Batu Maung di sini.
Kejadian jam 4.30 pagi menyebabkan mangsa berusia 17 tahun itu maut di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah pada anggota badan.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, hasil siasatan mendapati mangsa menunggang motosikal jenis Honda C100 dari arah Georgetown menghala ke Batu Maung itu disyaki terbabit dengan aktiviti rempit. – MalaysiaGazette