Seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) maut selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah motosikal lain di Jalan Batang Kali - Ulu Yam Bharu, Hulu Selangor pada Selasa.

HULU SELANGOR – Seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) maut selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah motosikal lain di Jalan Batang Kali – Ulu Yam Bharu, di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superitenden Mohd Asri Mohd Yunus berkata, ketika kejadian kira-kira jam 11.40 malam, wanita berusia 53 tahun itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas bertugas di Batang Kali, di sini.

“Polis menerima panggilan kira-kira kam 12.10 tengah malam berkenaan satu kemalangan maut melibatkan dua motosikal di Jalan Batang Kali – Ulu Yam Bharu berhampiran SMK Syed Mansor Batang Kali.

“Mangsa yang menaiki motosikal jenis Yamaha Y110 baru habis bertugas ronda bersama polis di kawasan Batang Kali dan dalam perjalanan balik ke rumah.

“Manakala motosikal Honda RS yang melanggar belakang motosikal mangsa pula ditunggang seorang remaja berusia 19 tahun ketika dalam perjalanan dari Rasa ke Ligamas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Asri berkata, ketika kejadian, remaja yang juga pembantu kedai minyak urut tercampak ke tepi jalan serta mengalami kecederaan di bahagian dada, tangan, kaki dan belakang badan yang kemudiannya dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu.

“Manakala wanita itu pula disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan bertugas.

“Bedah siasat ke atas mangsa telah dijalankan di Hospital Kuala Kubu Bharu jam 10 pagi tadi dan punca kematian adalah akibat kecederaan otak traumatik,” katanya.

Menurut Mohd Asri, motosikal terbabit ditahan polis untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Semakan awal mendapati remaja berkenaan tidak mempunyai rekod jenayah atau dadah dan pihak polis tidak bercadang untuk menahan reman setakat ini.

“Pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tentang kemalangan untuk tampil membantu siasatan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here