GEORGE TOWN – Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan bersama empat kru warga Myanmar kelmarin, selepas dipercayai melanggar syarat lesen.
Pengarah APMM Pulau Pinang, Kepten Maritim Razali Kasim berkata, kesemua mereka yang berusia antara 22 hingga 42 tahun itu ditahan pada kedudukan 13.8 batu nautika selatan Pulau Kendi.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua mereka gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah.
“Dalam tempoh seminggu sejak 16 Januari lalu, sebanyak empat bot nelayan tempatan ditahan di perairan Pulau Pinang atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.
“Sebanyak 12 kru termasuk warga asing kini ditahan bagi siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media malam tadi.
Tambah Razali, APMM komited dalam membanteras aktiviti jenayah di laut dan pelanggaran syarat perikanan.
“Operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkat demi memastikan perairan negara sentiasa selamat dan bebas daripada jenayah.
“Kami juga menyeru komuniti nelayan supaya menjadi ‘mata dan telinga’ kepada pihak berkuasa dengan menyalur maklumat mengenai sebarang aktiviti mencurigakan di perairan,” katanya. – MalaysiaGazette