DAVOS, Switzerland – ASEAN mengambil pendekatan yang penuh berhati-hati dalam isu berkaitan Myanmar, kerana perkara yang paling kritikal adalah bagi menjamin wujudnya keamanan di negara itu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, pendekatan ASEAN bukanlah dalam bentuk menguatkuasakan sistem tertentu, sebaliknya memastikan wujudnya keterangkuman dan keamanan, di samping kepentingan memelihara demokrasi.
“Petunjuk positif pertama dalam beberapa bulan kebelakangan ini adalah kesediaan untuk keterlibatan, dan saya beri jaminan kepada mereka melalui hubungan rakan-rakan dan pelbagai agensi, terutamanya agensi perisikan, bahawa kami bukan di sini untuk mengenakan apa-apa tindakan.
“Tadbir urus sistem, walaupun dalam ASEAN, sedikit berbeza. Malaysia atau Singapura atau Vietnam, Lao, mereka juga agak berbeza. Selagi mereka mewakili beberapa bentuk demokrasi, kita tidak mengenakan apa-apa paksaan,” katanya.
Anwar berkata demikian semasa sesi Pleno ASEAN bertajuk “Even Stronger Together”, mengenai keutamaan Kepimpinan ASEAN-Malaysia 2025 dan peranan penting ASEAN dalam membentuk landskap ekonomi. – Bernama