Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir bagi sambung prosiding bela diri kes penyelewengan dana 1MDB di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 5 DISEMBER 2024. (GAMBAR FAIL)

PUTRAJAYA – “Banyak cara saya boleh sampaikan penghargaan atau ucapan terima kasih, tidak semestinya melalui surat sahaja,” demikian kata Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi hari ini.

Bekas Perdana Menteri beranggapan, lebih sopan jika beliau mengucapkan terima kasih secara peribadi, bukan menerusi surat yang dikhuatiri hilang atau tidak sampai kepada pengirimnya.

Ujar beliau, surat yang mengandungi unsur kerahsiaan juga dibimbangi ‘jatuh’ ke tangan pihak tidak bertanggungjawab.

Sehubungan itu Najib menegaskan, tanpa menghantar surat penghargaan kepada Raja Abdullah tidak bermaksud beliau tidak menerima derma politik daripada keluarga diraja Arab Saudi itu.

Beliau menyatakan demikian pada sesi pemeriksaan semula oleh peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin pada prosiding di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Najib, 71, membela diri terhadap empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.

Pada prosiding itu, bekas Perdana Menteri diminta menjelaskan cadangan pihak pendakwaan bahawa ketiadaan surat penghargaaan, sebenarnya menunjukkan derma tersebut tidak diterima daripada keluarga diraja Arab Saudi.

Najib turut diminta menjelaskan mengapa beliau tidak menghubungi Putera Saud Abdulaziz Majid Al-Saud bagi mengesahkan sama ada wang yang dipindahkan ke akaun peribadi beliau merupakan derma politik daripada kerajaan itu.

Beliau berkata, pengesahan tidak perlu dilakukan asalkan wang itu akhirnya diterima dan tiada tanda-tanda amaran yang menunjukkan ia wang haram.

Perbicaraan bersambung esok. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here