Anggota bomba memberikan bantuan kepada mangsa lemas dalam kejadian di Pantai Bayu Impian, Batu Damai, Kota Tinggi semalam.

KOTA TINGGI – Seorang wanita dan anak saudaranya maut manakala tiga lagi ahli keluarga mereka terselamat dalam kejadian lemas di Pantai Bayu Impian, Bayu Damai di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, kejadian tersebut berlaku pukul 5 petang dan semua mangsa dipercayai mempunyai pertalian keluarga.

Beliau memberitahu, kaunter aduan Balai Polis Bayu Damai menerima makluman mengenai kejadian tersebut pada pukul 5.30 petang.

“Terdapat lima mangsa bersaudara iaitu seorang wanita berusia 33 tahun, seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dan tiga kanak-kanak perempuan berusia antara 10 hingga 13 tahun turun ke kawasan pantai untuk mandi sebelum semua mereka dihanyutkan air laut.

“Menyedari situasi tersebut, seorang lelaki berumur 60 tahun yang juga mempunyai pertalian persaudaraan telah mencuba untuk membantu namun naik semula ke pantai disebabkan ombak kuat.

“Kesemua mangsa berjaya diselamatkan oleh pasukan penyelamat dengan bantuan orang awam yang berada di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Katanya, dua daripadanya berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi kejadian.

Menurutnya, mayat mangsa wanita dewasa, 33, dan remaja perempuan, 13, telah dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Kota Tinggi untuk tindakan prosedur siasatan.

Kes tersebut katanya, diklasifikasikan bawah Laporan Mati Mengejut (SDR) dan disiasat oleh pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Zakaria Ab Wahab.

“Polis Kota Tinggi menasihati orang ramai yang mengunjungi kawasan pantai supaya tidak melakukan sebarang aktiviti rekreasi air memandangkan keadaan laut bergelora serta ombak yang boleh menyebabkan kejadian lemas,” ujarnya.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Penawar, Pegawai Bomba Tinggi II Ezam Mistorerrudin berkata, seramai 15 anggota dibantu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan pacuan empat roda Hilux dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.

Jentera pertama katanya, tiba pukul 5.33 petang dengan jarak hanya dua kilometer dari balai bomba ke lokasi kejadian.

“Ketika pasukan tiba di lokasi, mereka mendapati enam mangsa sedang bertarung nyawa akibat lemas ketika mandi-manda di pantai.

“Dengan bantuan orang awam, pasukan penyelamat segera melaksanakan operasi menyelamat menggunakan jaket keselamatan dan tali,” katanya.

Jelasnya, empat mangsa berjaya diselamatkan manakala dua lagi ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Pihak bomba katanya, segera memberikan bantuan pernafasan sementara menunggu ketibaan ambulan Kementerian Kesihatan (KKM).

Bagaimanapun ujarnya, pihak KKM mengesahkan dua mangsa iaitu Siti Fatimah Jaafar, 33, dan Nur Arisya Hanan Mohd Salleh, 13, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa terbabit diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Mangsa lain yang selamat katanya, iaitu Jaafar Yusof, 60, Nur Qaisara Farhana Mohd Farid, 13, Danial Abu, 10, Nur Alisya Shafiya Jamil, 10, dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut

Tambah beliau, operasi tamat sepenuhnya pada pukul 7.05 malam.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here