MELAKA – Dua nelayan yang dilaporkan hilang ketika keluar memukat di perairan Pulau Undan di sini, 15 Januari lalu ditemui selamat di Dumai, Indonesia.
Penemuan mereka tular sejak malam tadi.
Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Mohd Khairi Abd Aziz berkata, mangsa, iaitu tekong bot, Muarep Sakem, 63, dan Rosenizam Maharam, 55, berjaya diselamatkan oleh nelayan Indonesia selepas bot mereka hanyut akibat cuaca buruk dan kerosakan enjin.
“Kami bersyukur kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan serius dan mereka kini masih berada di Dumai.
“Kami sedang bekerjasama dengan Konsulat Malaysia di sana bagi menguruskan proses penghantaran mereka pulang ke Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Artikel berkaitan: Dua nelayan hilang mungkin hanyut ke Indonesia
Dua nelayan, bot dilaporkan hilang di Pulau Undan
Beliau dalam pada itu turut mengingatkan kepada nelayan dan orang awam supaya lebih berhati-hati dengan perubahan cuaca yang tidak menentu serta memastikan bot berada dalam keadaan baik dan dilengkapi peralatan keselamatan sebelum keluar ke laut.
Sementara itu, anak kepada Muarep, Susanti, 40 berkata, dia mengetahui mengenai berita gembira itu selepas dihubungi Ahli Dewan Undangan NEGERI (ADUN) Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman kira-kira jam 10.30 malam tadi.
“Alhamdulillah doa kami sekeluarga dimakbulkan walaupun belum dapat bercakap dengan ayah, sekurang-kurangnya berita ini melegakan hati kami yang tidak putus-putus berdoa sejak minggu lalu.
“Terima kasih kepada semua pihak termasuk agensi berkaitan dan nelayan yang membantu mencari ayah, mendoakan dan membuat solat hajat,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan Muarep dan Rosenizam hilang ketika memukat ikan pada Rabu minggu lalu.
Kehilangan mereka hanya disedari Jumaat lalu sebelum Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) serta-merta.
Satu pangkalan hadapan Mencari dan Menyelamat (Carilamat) dibuka di Jeti Nelayan Muara Sungai Duyong, Padang Temu di sini yang turut turut dibantu oleh komuniti nelayan tempatan dalam operasi itu. – MalaysiaGazette