KUALA LUMPUR – Inflasi Malaysia menyederhana kepada 1.7 peratus pada Disember 2024 dengan mata indeks mencatatkan 133.4 berbanding 131.2 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Peningkatan inflasi pada Disember 2024 telah didorong oleh peningkatan lebih perlahan bagi kumpulan utama penjagaan diri, perlindungan sosial & pelbagai barangan & perkhidmatan (3.2%); rekreasi, sukan & kebudayaan (1.7%); Kesihatan (1.1%) dan Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah (0.4%).

Manakala, inflasi restoran & perkhidmatan penginapan dan makanan & minuman masing-masing meningkat pada kadar lebih tinggi iaitu 2.9 peratus dan 2.7 peratus berbanding 2.8 peratus dan 2.6 peratus pada bulan November 2024.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, inflasi maklumat & komunikasi terus menurun kepada negatif 5.4 peratus pada Disember 2024 (November 2024: -3.9%) disebabkan oleh penurunan inflasi subkumpulan utama perkhidmatan maklumat & komunikasi pada negatif 6.4 peratus (November 2024: -4.4%).

Pakaian & kasut kekal berada dalam jajaran negatif iaitu negatif 0.5 peratus (November 2024: -0.3%).

Sementara itu, perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain (3.2%); pendidikan (1.5%); minuman alkohol, tembakau (0.8%); insurans & perkhidmatan kewangan (0.5%) dan pengangkutan (0.4%) meningkat pada kadar yang sama seperti bulan sebelumnya.

Kumpulan makanan & minuman yang menyumbang 29.8 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP meningkat 2.7 peratus pada Disember 2024 (November 2024: 2.6%).

Subkumpulan utama makanan di rumah meningkat 0.9 peratus (November 2024: 0.6%) disumbangkan oleh inflasi kelas perbelanjaan sayur-sayuran yang merekodkan peningkatan sebanyak 3.6 peratus (November 2024: 1.1%).

Kenaikan harga bagi sayur-sayuran dipengaruhi oleh cuaca buruk dan kekerapan hujan yang melanda kawasan pengeluaran di kawasan pengeluaran utama seperti di Tanah Tinggi Cameron.

Antara sayur-sayuran yang merekodkan peningkatan lebih tinggi secara asas tahunan pada Disember 2024 adalah kacang panjang, 12.7 peratus (November 2024: 3.3%), kubis, 11.7 peratus (November 2024: 8.5%) dan bendi, 11.1 peratus (November 2024: 1.8%).

Kelas perbelanjaan daging telah mencatatkan penurunan pada kadar negatif 0.3 peratus pada bulan Disember 2024 (November 2024: 1.6%) disumbangkan oleh daging lembu tempatan yang mencatatkan negatif 3.2 peratus pada Disember 2024 (November 2024: -1.8%).

Daging ayam segar yang merupakan komponen terbesar (32.6%) dalam kelas perbelanjaan daging merekodkan peningkatan perlahan pada 0.9 peratus (November 2024: 4.8%).

Purata harga ayam standard pada Disember 2024 adalah RM10.32 sekilogram berbanding RM10.18 sekilogram pada Disember 2023 (November 2024: RM10.41) manakala, purata harga ayam standard di peringkat Semenanjung Malaysia pada Disember 2024 adalah RM9.52 sekilogram berbanding RM9.44 sekilogram pada Disember 2023 (November 2024: RM9.69).

Di samping itu, subkumpulan utama makanan di luar rumah meningkat 4.8 peratus, kadar yang sama seperti bulan sebelumnya.

Antara item yang mencatatkan kenaikan pada Disember 2024 ialah masakan sayur, 6.0 peratus (November 2024: 5.1%), Nasi campur, 4.0 peratus (November 2024: 3.8%) dan Sate, 3.9 peratus (November 2024: 3.5%).

Selain itu, inflasi pengangkutan kekal 0.4 peratus pada Disember 2024 berbanding November 2024 disumbangkan oleh subkumpulan utama Pengurusan peralatan pengangkutan persendirian yang meningkat 1.0 peratus pada Disember 2024 (November 2024: 0.9%).

Inflasi bahan api Diesel kekal pada kadar negatif seperti bulan sebelumnya iaitu 15.0 peratus.

Purata harga Diesel di Semenanjung Malaysia adalah RM2.95 seliter berbanding RM2.15 seliter pada Disember 2023 (November 2024: RM2.95) manakala, purata harga diesel bagi Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter.

Di samping itu, inflasi petrol tanpa plumbum RON97 menurun sebanyak negatif 7.5 peratus (November 2024: -8.1%).

Purata harga runcit petrol tanpa plumbum RON97 pada Disember 2024 ialah RM3.21 seliter berbanding RM3.47 seliter pada Disember 2023 (November 2024: RM3.19).

Mohd Uzir menambah, kebanyakan negeri merekodkan inflasi di bawah paras inflasi nasional 1.7 peratus.

Walau bagaimanapun, inflasi bagi lima negeri meningkat melebihi paras inflasi nasional iaitu Pulau Pinang (2.6%), Pahang (2.3%), Selangor (2.0%), Johor (1.8%) dan Sarawak (1.8%).

Kesemua negeri mencatatkan peningkatan dalam inflasi makanan & minuman dengan kadar tertinggi dicatatkan oleh Selangor pada 4.1 peratus, diikuti oleh
Kuala Lumpur (3.1%), Johor (3.0%), Terengganu (2.9%) dan Putrajaya (2.9%). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here