Tay Tien Yaa

PUTRAJAYA – Kematian Dr Tay Tien Yaa, pakar perubatan patologi hospital di Lahad Datu pada Ogos tahun lepas bukan disebabkan menjadi mangsa buli atau dizalimi.

Tan Sri Borhan Dollah, Pengerusi jawatan kuasa khas bebas yang ditubuhkan bagi menyiasat kematian Tien Yaa memaklumkan, dapatan daripada siasatan yang dilaksanakan pasukannya tidak menemui bukti mangsa dipaksa melaksanakan tugasan di luar skop kerjanya.

Dapatan itu diperoleh  selepas jawatan kuasa itu memanggil 19 orang saksi yang terdiri daripada keluarga dan juga kakitangan hospital berkenaan.

“Kita menyemak kepada satu dokumen termasuk gambar rakaman, laporan perubatan dan juga laporan polis ketika membuat lawatan ke Jabatan Patologi Hospital Lahad Datu dan juga pada 4 November kita juga rumah sewa.

“Jadi, berdasarkan kepada itu, kita telah merumuskan ada empat isu yang dibangkitkan dalam aduan itu terutama isu pertama yang dibangkitkan (keluarga) katanya mendiang telah dibebani dengan beban kerja dan tugasan pakar yang di luar skop dan terlalu berat dan sebagainya.

“Hasil daripada siasatan kita, kita dapati tugasan yang dilakukan oleh mendiang ini adalah seperti mana ditetapkan dalam senarai tugas dan job description beliau.

“Tidak ada pun kita dapati tugas yang diberikan di luar skop atau di luar bidang tugas beliau dan selaku timbalan ketua jabatan satu mendiang waktu tu juga bertanggungjawab untuk menguruskan perolehan, penjaga stor urusan dan sebagainya.

“Jadi, kita nampak di situ tidak timbul isu (dibuli atau dizalimi) berdasarkan kepada bukti dokumen dan juga temu bual itu,” katanya pada sidang media khas di sini, hari ini.

Hadir sama pada sidang media itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Timbalannya, Datuk Lukanisman Awang Sauni serta Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.

Mengulas lanjut, Borhan berkata, perkara kedua yang ditemui menerusi dapatan itu iaitu mendiang telah dirujuk sebagai pegawai perubatan bagi urusan yang di luar bidangnya

Katanya, sebagai doktor on-call beliau perlu menajwab pelbagai soalan yang datang dari pelbagai bidang.

“Jadi, bila-bila masa beliau boleh dirujuk oleh rakan-rakan dalam bidang yang lain kerana mereka ada group chat masing-masing,” katanya.

Perkara ketiga yang ditemui dalam siasatan ialah mendiang bekerja dalam satu pasukan secara profesional berdasarkan bukti temu bual rakan-rakan yang lain dan juga pegawai-pegawai bawahan termasuk pegawai perubatan dan sebagainya.

Manakala, dapatan keempat iaitu permintaan mendiang untuk pulang ke Semenanjung mendapati, tidak ada daripada Jabatan Sumber Manusia dan bahagian perkembangan kesihatan mengenai rayuan mendiang sebagaimana didakwa.

“Jadi, di situ kita nampak dakwaan-dakwaan oleh pihak keluarga tidak berbangkit. Dapatan kita rumuskan di sini ialah apa yang dikatakan selama ini dia ditindas, dizalimi oleh ketua jabatan, tidak berbangkit,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dzulkefly memberi jaminan akan menstrukturkan beberapa perkara antaranya membabitkan sumber manusia bagi mengurangkan isu bebanan dan tekanan kerja petugas-petugas kesihatan.

Komitmen itu diberikan Menteri Kesihatan susulan dapatan jawatankuasa khas bebas yang ditubuhkan bagi menyiasat kematian pakar patologi Hospital Lahad Datu, Sabah, mendiang Dr Tay Tien Yaa.

Dzulkefly berkata, beliau insaf dan sedar mengenai tekanan kerja yang ditanggung oleh mendiang, menjadi perkara utama yang menonjol dalam dapatan siasatan ini.

Saya insaf dan sedar tentang elemen work stress dan work pressure yang ditanggung mendiang Dr Tay, itu yang utama yang muncul dalam dapatan siasatan ini.

“Saya sebagai menteri akan mengambil tindakan khasnya dalam apa yang disebutkan oleh setting resource limited berbanding sewaktu mendiang kerja di Hospital Kuala Lumpur, dan berpindah ke Hospital Lahad Datu yang mengalami batasan sumber. Itu antara sebab punca utama stres dan tekanan kerja.

“Saya akan ambil tindakan susulan bagaimana nak baiki keadaan dan tekanan seperti itu yang terpaksa didepani sistem kesihatan awam, terutama pakar jabatan patologi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here