Pemeriksaan pegawai dari Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut mendapati kilang kicap di Jalan Patani, Pulau Pinang meletakkan kacang soya yang diperap di atas lantai berdekatan dengan tandas.

GEORGE TOWN – Dua buah kilang pemprosesan kicap dan sos cili tradisional di daerah Timur Laut yang sebelum ini diarahkan tutup sebanyak tujuh kali sekali lagi berdepan tindakan sama hari ini.

Penutupan selama 14 hari mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983 itu dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut selepas pegawai pihak berkuasa itu menemui najis tikus di dua premis tersebut.

Pemeriksaan pertama membabitkan kilang di Jalan Patani mendapati kacang soya diperap di atas lantai yang berdekatan dengan tandas.

Najis tikus ditemui di kawasan kilang tersebut.

Selain keadaan lantainya yang berlumut dan menjijikkan, najis tikus turut ditemui di dalam stor penyimpanan bahan mentah serta rak barangan.

Turut ditemui perangkap tikus di rak penyimpanan sos cili yang menunjukkan masalah perosak yang serius.

Difahamkan, kicap, sos cili dan taucu yang diproses di kilang tersebut dipasarkan di sekitar negeri utara.

Pemeriksaan terhadap kilang kedua di Jalan C.Y Choy pula, menemui najis tikus di sekitar rak pemprosesan sos cili selain pekerja lelaki dilihat hanya memakai seluar ketika bertugas.

Difahamkan, kedua-dua kilang berusia lebih 120 tahun itu pernah diberi notis penutupan sebanyak  tujuh kali dalam tempoh 10 tahun sebelum ini.

Pekerja juga dilihat tidak memakai baju ketika menjalankan tugas.

Sementara itu, Pegawai Kesihatan Persekitaran, Mohd Zulhairel Mat Yusoff berkata, Operasi Bersepadu Undang-Undang Kesihatan Awam ini dilaksanakan di seluruh negeri dan kedua-dua premis terbabit telah diberi notis penutupan beberapa kali atas kesalahan serupa.

“Kami mendapati bahan mentah di kedua-dua premis diletakkan di atas lantai manakala bekas gentian yang digunakan untuk perapan dipercayai sudah tidak sesuai dan boleh menyebabkan kerosakan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here