BOLU – Angka korban kebakaran di sebuah pusat peranginan ski di utara Turkiye meningkat kepada 76 orang dan mencederakan 51 yang lain.
Menteri Kesihatan, Kemal Memisoglu berkata, daripada yang cedera itu, 17 telah dibenarkan keluar dari hospital manakala seorang masih dalam rawatan rapi.
Gabenor Bolu, Abdulaziz Aydin berkata, kebakaran berlaku sekitar jam 3.30 pagi waktu tempatan (0027GMT) di kawasan restoran hotel peranginan ski Kartalkaya dan merebak dengan cepat.
Kebakaran hanya dpaat dikawal selepas 10 jam, kata pihak berkuasa kepada Anadolu.
Pasukan kecemasan dari bandar-bandar lain, termasuk anggota bomba, unit tindak balas bencana, dan pasukan perubatan yang disokong oleh helikopter, telah dihantar ke tempat kejadian.
Menteri Kehakiman Yilmaz Tunc berkata, siasatan ke atas insiden itu dilancarkan oleh sepasukan enam pendakwa raya, bersama dengan jawatankuasa pakar lima anggota.
Tunc berkata, empat orang termasuk pemilik hotel itu ditahan untuk siasatan.
Siasatan jawatankuasa pakar lima anggota untuk mengesan punca kebakaran sedang dijalankan, dan kerja-kerja penilaian digerakkan untuk menentukan kerosakan.
Menteri Dalam Negeri Ali Yerlikaya berkata, seramai sembilan orang telah ditahan sebagai sebahagian daripada siasatan yang sedang dijalankan.
Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Mehmet Nuri Ersoy berkata, hotel itu mempunyai sijil keselamatan kebakaran yang dikeluarkan oleh pihak bomba. – Agensi