JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor menahan seorang lelaki dan merampas minyak masak peket yang dipercayai diseleweng dalam serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Bukit Mewah, di sini, hari ini.
Pengarah KPDN Negeri Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, serbuan dilakukan selepas tiga minggu risikan dijalankan dan menemukan 5.78 metrik tan minyak masak paket sekilogram atau 5,100 paket.
Selain itu, beliau berkata, sebanyak 137 botol minyak masak yang sudah dibungkus semula turut dirampas membabitkan anggaran keseluruhan minyak masak yang dirampas adalah lebih RM131,000.
“Kita bertindak pantas menyerbu premis kediaman ini dan mendapati terdapat kegiatan membungkus semula minyak masak paket satu kilogram ke dalam botol minyak lima kilogram.
“Tindakan penguatkuasaan ini dibuat berdasarkan kepada punca kuasa Akta Bekalan 1961 berkaitan membanteras sindiket minyak masak paket yang dibungkus semula.
“Kita dapati kegiatan ini tidak mempunyai kebenaran atau kelulusan dari segi lesen dan sebagainya,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, hari ini.
Menurut beliau, lelaki berkenaan yang berusia 42 tahun berperanan sebagai pembungkus semula minyak dan penjual memperoleh keuntungan RM11 bagi satu botol minyak masak yang siap dibungkus semula.
“Minyak paket ini dipercayai diperoleh daripada pemborong di Melaka dan Selangor.
“Harga sepaket minyak masak satu kilogram adalah RM2.50 dan sebanyak lima paket dimasukkan ke dalam botol lima kilogram yang kemudian dijual pada harga RM22.70,” jelasnya.
Beliau berkata, bagi 2025, ini adalah rampasan terbesar dibuat pihaknya setakat ini di negeri ini dan siasatan lanjut akan dibuat mengikut Peraturan 31 Perintah Kawalan Bekalan 1974.
“Kita menyeru semua rakyat Johor untuk terus bersama-sama membanteras dan menggempur mana-mana aktiviti penyelewengn barang kawalan dalam negeri ini,” tegasnya.- MalaysiaGazette