Nancy bercakap kepada media selepas Majlis Pelancaran Logo dan Tema Hari Wanita Antarabangsa 2025, di KPWKM, di sini, hari ini.

PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan meneliti isu jurang gaji wanita yang dikatakan lebih rendah berbanding lelaki meskipun mempunyai kelayakan yang setaraf dengan golongan berkenaan.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, golongan wanita tidak seharusnya didiskriminasi sebaliknya, perlu diberi peluang khusus sama seperti lelaki.

“Ini perlu kita suarakan juga, macam saya dalam Kabinet perlu suarakan isu ini supaya sepatutnya tidak ada jurang, kerana wanita ini kadang-kadang dia balik kerja, dia kena jaga anak-anak, jaga orang tua.

“Jadi, dia tidak seharusnya dipandang rendah dari segi pendapatan mereka, yang mana kalau kelayakan mereka itu sama dengan lelaki…jadi kenapa nak bezakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Logo dan Tema Hari Wanita Antarabangsa 2025, yang turut dihadiri Timbalannya, Datuk Seri Noraini Ahmad di kementeriannya, di sini, hari ini.

Beliau ditanya mengenai laporan Jabatan Perangkaan Malaysia yang menunjukkan graduan wanita memperoleh gaji kira-kira RM900 lebih rendah berbanding rakan sekerja lelaki mereka, menonjolkan ketidaksamaan sistemik dalam pasaran buruh.

Media sebelum ini melaporkan, Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, jurang gaji itu timbul awal dalam kerjaya wanita disebabkan oleh ketidaksamaan struktur dan persepsi sosial, bukannya merit individu.

Beliau menegaskan, wanita sering kurang diwakili dalam sektor-sektor berpendapatan tinggi seperti teknologi dan kewangan, sementara mereka lebih ramai diwakili dalam bidang-bidang berpendapatan rendah seperti pendidikan dan pentadbiran.

Laporan Statistik Graduan 2023 menunjukkan bahawa graduan wanita memperoleh gaji kira-kira RM900 lebih rendah daripada graduan lelaki, walaupun memiliki kelayakan akademik yang sama.

Syed Hussain menekankan, bahawa menutup jurang gaji jantina adalah kunci untuk membuka potensi bakat yang pelbagai di Malaysia dan memperkukuh ekonomi.

Beliau berkata, langkah-langkah seperti penguatkuasaan struktur gaji yang telus, menggalakkan wanita memasuki bidang yang didominasi lelaki dan mempromosikan pengaturan kerja fleksibel adalah langkah penting ke arah menutup jurang gaji jantina.

Dalam pada itu, Nancy berkata, langkah untuk membendung perkara tersebut sememangnya telah ada di bawah Pembangunan Sumber Manusia.

“Sebenarnya ada dan seharusnya tidak didiskriminasi (wanita) di bawah human resources. Tapi, saya tahu lebih-lebih lagi kepada yang mengandung, tak boleh berhentikan pekerja macam tulah

“…yang lain itu akan saya telitikan dulu sebab kadang-kadang ia tak terus dengan pihak Kementerian,” ujarnya. – MalaysaiGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here