PUTRJAYA – Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) mencatatkan kutipan zakat harta dan fitrah di Wilayah Persekutuan berjumlah RM1,133,641,480.51 bagi tahun 2024.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar berkata, jumlah itu menunjukkan kenaikan sebanyak 10 peratus berbanding kutipan zakat berjumlah RM1,031,301,080.55 pada 2023.
“Keseluruhan pembayar zakat turut meningkat sebanyak 2 peratus iaitu dari 1,864,703 orang pada 2023 kepada seramai 1,835,902 orang berbanding 2024,” katanya pada sidang media Prestasi Kutipan dan Agihan Zakat 2024 Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi MAIWP, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer dan Pengerusi PPZ-MAIWP, Datuk Seri Amrin Awaluddin.
Mohd Naim berkata, zakat pendapatan merupakan penyumbang kutipan tertinggi sebanyak RM772 juta atau 68 peratus daripada kutipan keseluruhan.
“Manakala kutipan kedua tertinggi adalah zakat perniagaan sebanyak RM183 juta atau 16 peratus daripada kutipan keseluruhan,” katanya.
Katanya, baki 16 peratus dari keseluruhan kutipan zakat di Wilayah Persekutuan pula terdiri daripada zakat wang simpanan, zakat harta, zakat fitrah, qadha dan lain-lain.
“Bayaran melalui potongan gaji zakat menjadi pilihan utama pembayar dan menyumbang sebanyak 51 peratus daripada keseluruhan kutipan.
“Sebanyak RM575 juta dikutip melalui potongan gaji, kaunter PPZ-MAIWP (RM191 juta/17%), portal PPZ-MAIWP (RM149 juta/13%) dan ejen (RM73 juta/6%),” katanya.
Sementara itu katanya, MAIWP mengagihkan dana zakat sebanyak RM1,156,371,169 kepada lapan golongan asnaf melalui pelbagai program dan inisiatif.
“Antaranya bantuan zakat, Al-Wakalah, Institusi Pendidikan dan Kebajikan, Prasarana Umat Islam, Perbelanjaan Penyelenggaraan Prasarana dan Amil di Wilayah-Wilayah Persekutuan,” katanya.
Selain itu, katanya, jumlah penerima juga meningkat 4.45 peratus pada 2024 kepada seramai 11,551 jumlah penerima berbanding 2023.
Dalam pada itu, katanya, MAIWP mensasarkan perbelanjaan agihan zakat berjumlah RM1.340 bilion pada 2025 dengan fokus utama kepada pemerkasaan dan kesejahteraan asnaf serta pemerkasaan modal insan menerusi pendidikan.
“MAIWP mensasarkan perbelanjaan agihan zakat berjumlah RM1.341 bilion pada 2025 manakala sejumlah RM6.31 juta diperuntukan bagi perbelanjaan wakaf.
“Dua fokus utama agihan iaitu Pemerkasaan dan Kesejahteraan Asnaf berjumlah RM1.110 bilion dan Agihan Pemerkasaan Modal Insan Melalui Pendidikan berjumlah RM230.63 juta,” katanya.
Selain itu, katanya, MAIWP turut memperuntukkan RM407.37 juta untuk disalurkan kepada Kluster Bantuan Kebajikan serta RM50.28 juta pula untuk Kluster Bantuan Perumahan.
“Manakala RM187.34 juta diperuntukkan bagi Kluster Pendidikan dan RM191.74 juta untuk Kluster Bantuan Pembangunan Ummah.
“Sebanyak RM63.64 juta disalurkan untuk Kluster Bantuan Ekonomi dan Asnaf, serta RM65.31 juta bagi Kluster Bantuan Perubatan, demi memastikan keperluan setiap golongan terbela.
“Sebanyak RM197 juta pula diagihkan untuk Wakalah dan RM177.99 juta bagi Agihan Amil turut memperkukuh pengurusan zakat yang cekap dan berkesan,” katanya.
Selain zakat, Mohd Naim berkata, kutipan wakaf turut meningkat sebanyak 26 peratus berbanding 2023 iaitu sebanyak RM8,372,966.38 dengan jumlah pewakaf seramai 19,845 orang.
Katanya, PPZ-MAIWP menyasarkan keseluruhan kutipan zakat dan wakaf sebanyak RM1.216 bilion dengan jumlah bilangan pembayar 1,897,000 orang pada 2025.
“Manakala bagi wakaf pula menyasarkan kutipan sebanyak RM17.4 juta dengan jumlah pewakaf seramai 40,000 orang,” katanya. – MalaysiaGazette