Tertuduh dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan bersubahat dan membunuh seorang wanita  bersubahat.

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang wanita, bulan lalu.

Tertuduh, Soo Siau Soon, 31, mengangguk faham akan pertuduhan dihadapinya selepas dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin namun tiada pengakuan direkodkan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian ke atas seorang wanita tempatan berusia 43 tahun di hadapan sebuah kuil di Batu 8 1/2, Skudai di sini pukul 12.50 tengah malam, 1 Disember tahun lalu.

Di hadapan Majistret A Shaarmini, turut dihadapkan dua individu termasuk seorang wanita atas pertuduhan bersubahat melakukan perbuatan bunuh itu ke atas mangsa yang sama.

Heng Tang Lee, 58, dan C Susila, 45, faham akan pertuduhan itu, namun tiada pengakuan juga direkodkan.

Mereka didakwa bersubahat melakukan perbuatan berkenaan di tempat, masa dan hari yang sama.

Bagi perbuatan itu ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan bagi Tang Lee dan Susila.

Mereka berdepan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun serta dikenakan sebatan sehingga 12 kali sekiranya tidak dihukum mati, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di mahkamah sama, Tang Lee mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membuang sebilah bilah gunting ke dalam paya bagi mengelakkan Siau Soon yang dituduh atas tuduhan bunuh daripada hukuman undang-undang.

Dia turut mengaku tidak bersalah memiliki pistol tanpa lesen senjata.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di kawasan paya, Taman Tampoi Utama di sini pukul 3.40 petang, 15 Januari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aishah Latif dan Nik Noratini Nik Azman, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada sebarang jaminan dibenarkan terhadap semua tertuduh dan kes ditetapkan untuk sebulan semula pada 6 Mac dan 19 Mac depan sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat.

Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar dilaporkan berkata, tiga suspek ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang wanita tempatan dalam sebuah Perodua Alza, bulan lalu.

Mayat mangsa ditemui dengan kesan tikaman di bahagian dada, muka, dan lengan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here