KLUANG – Seorang operator kilang maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan dengan dua kereta di KM 65.3 Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan, dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kemalangan pada pukul 7.21 pagi itu melibatkan motosikal jenis Yamaha 135LC dengan kereta Perodua Myvi dan Proton Iswara.
“Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati motosikal dan dua kereta berkenaan dari arah utara menghala ke Johor Bahru.
“Tiba di tempat kejadian, motosikal telah hilang kawalan dan terbabas lalu jatuh di lorong kanan. Perodua Myvi dan Proton Iswara yang datang dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal terbabit dan mangsa,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, akibat kemalangan yang berlaku, mangsa, Muhamad Aqmal Firdaus Jasman yang berumur 27 tahun dan beralamat di Pasir Gudang, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Sementara dua pemandu kereta terbabit katanya, masing-masing berusia 27 dan 42 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Tambah beliau, kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987.- MalaysiaGazette