Razali Kassim meninjau keadaan dalam sebuah bas ekspres ketika mengadakan lawatan di Terminal Sentral Kuantan, Pahang. Foto SADIQ SANI, 20 JANUARI 2025

KUANTAN – Taktik penyamaran anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang berjaya mengesan seorang pemandu bas ekspres yang menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan, Datuk Ir. Razali Kassim berkata, itu antara kesalahan yang dikesan sepanjang Operasi Khas Sempena Tahun Baharu Cina sejak dua hari lalu.

“Dalam operasi setiap hari itu anggota JPJ akan diletakkan di stesen bas bagi mengikut perjalanan sebagai penumpang bas.

“Dalam tempoh dua hari penyamaran ini, 10 saman dikeluarkan sejak 19 Januari,” katanya.

Kesalahan lain ialah meletakkan kenderaan di lorong kecemasan (mengambil penumpang) dan merokok semasa memandu kenderaan perkhidmatan awam.

Selain itu, tiada pemandu kedua bagi jarak lebih 300 kilometer atau pemanduan lebih dari empat jam dan tidak memberi isyarat semasa menukar lorong.

Tambah Razali, ada juga pemandu yang tidak berpakaian sopan dan bersih.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Pahang melaksanakan Operasi Khas Sempena Tahun Baru Cina selama 19 hari  sehingga 9 Februari ini.

Jelasnya, operasi berkenaan dijalankan untuk meningkatkan penguatkuasaan dan pematuhan undang-undang jalan raya bagi meminimumkan kadar kemalangan di musim perayaan di negeri ini.

Ujarnya, JPJ Pahang bertanggungjawab menjalankan pemeriksaan tegas mengikut prosedur operasi standard yang telah ditetapkan termasuk pemeriksaan tahap keselamatan tayar dan sistem brek selain pemeriksaan pemandu bas.

“Ini termasuklah aspek keselamatan kenderaan seperti ketebalan bunga tayar dan tekanan angin tayar yang mencukupi,” tambahnya.

Operasi itu turut mendapat kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang menjalankan saringan ujian air kencing ke atas pemandu bas bagi memastikan mereka bebas daripada pengaruh dadah.

Semalam tular video di berdurasi 2 minit 26 saat di laman sosial Tik Tok JPJ Pahang memaparkan anggotanya menegur beberapa kesalahan pemandu bas di Kuantan.

Pemandu berkenaan juga didapati memandu di laluan belah kanan secara berterusan dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast