KULAI – Seorang pemandu Grab mengalami kerugian RM149,334 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud dalam talian pada November lalu.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, semuanya bermula apabila mangsa iaitu lelaki berusia 65 tahun membuat pelaburan pada 12 November lalu.
Menurutnya, mangsa tertarik untuk melabur selepas dijanjikan keuntungan lumayan sebanyak AS$750,000 dalam tempoh dua minggu.
“Lelaki tersebut dimaklumkan wang keuntungan akan dimasukkan ke dalam akaun laman web mangsa.
“Mangsa kemudian membuat 22 transaksi ke dalam 12 akaun bermula 12 November hingga kelmarin,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, mangsa kemudian membuat semakan dan mendapati memperoleh keuntungan AS$$362,702.86.
Namun katanya, apabila mangsa mahu mengeluarkan keuntungan mendapati akaunnya disekat sebelum menyedari dirinya ditipu dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai semalam.
Seng Lee berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu pelaburan tidak wujud, jika sabit kesalahan boleh dipenjara antara satu hingga10 tahun dan sebatan serta denda.
“Pihak polis menyeru dan menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan tinggi dalam masa singkat,” katanya.
Tambahnya, orang ramai juga dinasihatkan untuk menggunakan khidmat dalam talian yang disediakan Jabatan Siasatan Jenayah Kormersil seperti National Scam Response Centre (NSRC), CCID Infoline, semak mule dan mendapatkan maklumat terkini modus operandi jenayah komersil melalui Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM).- MalaysiaGazette