KUANTAN – Seorang penjawat awam di sebuah jabatan kerajaan negeri ini direman selama enam hari kerana disyaki mengemukakan sebanyak 41 tuntutan palsu penginapan hotel berjumlah RM10,000 sejak dua tahun lepas.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Nor Izzati Zakaria selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Kuantan, di sini hari ini.
Menurut SPRM, lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Negeri Pahang.
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Pahang, Hairuzam Mohd Amin mengesahkan penahanan suspek dan memaklumkan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette