Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 19 JUN 2024 (GAMBAR FAIL)

PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Razak berkata, selaku Perdana Menteri beliau selalu dipersalahkan apabila pendakwaan dilakukan terutamanya melibatkan kes-kes berprofil tinggi.

Menurut Najib, ketika Tun Dr. Ling Liong Sik dihadapkan ke mahkamah pada 2010, bekas Menteri Pengangkutan itu tidak bertegur sapa dengannya sejak itu.

Liong Sik didakwa berkaitan kes penipuan RM1.08 billion melibatkan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ). Namun beliau dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2013. Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak merayu keputusan tersebut.

Ujarnya, pada waktu itu, Tan Sri Abdul Gani Patail berjawatan Peguam Negara.

Bekas Perdana Menteri menyatakan demikian di Mahkamah Tinggi hari ini pada sesi pemeriksaan semula yang dikendalikan oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hari ini.

Najib, 71, membela diri terhadap empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.

Dalam keterangannya, bekas Menteri Kewangan itu menyatakan, beliau tidak pernah campur tangan urusan Peguam Negara dalam kes-kes kepentingan awam.

Ujar Najib, namun demikian menjadi amalan biasa Peguam Negara memberi taklimat kepada Perdana Menteri berkaitan kes-kes berprofil tinggi.

Beliau menyatakan demikian ketika menolak cadangan pasukan pendakwaan bahawa pihaknya cuba mencampuri siasatan 1MDB melalui panggilan telefon kepada Tan Sri Dzulkifli Ahmad pada 2016 yang merupakan timbalan pendakwa raya ketika itu.

Menurut Najib, Dzulkifli hanya mengemas kini perkembangan siasatan dan beliau (Najib) tidak pernah membuat apa-apa permintaan kepadanya.

Shafee: Adakah biasa bagi seorang peguam negara atau mana-mana timbalannya memberi taklimat kepada Perdana Menteri dari semasa ke semasa mengenai kes berkepentingan awam?
Najib: Ya, itu amalan biasa, tetapi tidak campur tangan dalam tindakan pendakwa raya dalam kes berkepentingan awam.

Shafee: Adakah Datuk Seri boleh memberi arahan tertentu kepada Peguam Negara atau pendakwa raya berkaitan kes jenayah?
Najib: Tidak.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah di Istana Kehakiman bersambung petang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here