PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Razak menegaskan, perbualan telefon dengan seorang kerabat diraja Arab Saudi pada 2016 semata-mata bagi dokumentasi bantuan kewangan kepada anak tirinya, Riza Shahriz Abdul Aziz untuk pembikinan filem.
Bekas Perdana Menteri memberitahu Mahkamah
Tinggi hari ini, perbualan telefon dengan Putera Mahkota Arab Saudi yang dipanggil ‘Your Highness’ untuk mengesahkan pinjaman yang dibuat oleh pengeluar filem itu.
Sehubungan itu, Najib menafikan beliau meminta keluarga diraja tersebut untuk membantu Riza yang didakwa terlibat dengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menjawab soal balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Najib bersetuju bahawa filem-filem yang dikeluarkan oleh Riza mencapai kejayaan.
Pada 14 Mei 2020, anak tiri Najib itu dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur daripada tuduhan pengubahan wang haram RM1.25 bilion (US$248 juta) dana 1MDB.
Perbualan telefon dengan kerabat diraja Arab Saudi itu merupakan sebahagian daripada sembilan rakaman audio antara Najib dan beberapa pihak yang dikaitkan dengan 1MDB.
Rakaman audio itu dikemukakan pendakwaan bagi
menunjukkan Najib mempunyai kepentingan peribadi untuk menutup skandal 1MDB.
Rakaman perbualan berkenaan dikatakan berlaku selepas Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) mengemukakan permohonan pelucutan hak terhadap 1MDB yang turut membabitkan Riza.
Najib selanjutnya menyatakan, Tan Sri Abu Kassim Mohamed yang ketika itu Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), merupakan individu yang memberi maklumat berhubung 1MDB kepada DoJ.
Ujar bekas Perdana Menteri, DoJ kemudian mengemukakan tindakan pelucuthakan 1MDB pada 2016, walhal SPRM ketika itu belum mengambil keterangannya.
Menurut Najib, meskipun Abu Kassim ketika itu pernah memberi jaminan bahawa beliau ‘tidak terlibat’, SPRM patut merujuknya terlebih dahulu dan mendengar penjelasan.
Najib, 71, membela diri terhadap empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah di Istana Kehakiman di sini, bersambung esok – MalaysiaGazette.