Enam pegawai kastam dan lapan orang awam, termasuk enam pengarah syarikat telah ditahan dalam operasi yang dijalankan sekitar KLIA dan ibu negara petang Selasa..

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya menumpaskan kegiatan rasuah dalam kalangan penguat kuasa yang bersekongkol dengan sindiket penyeludupan vape (rokok elektronik) di Pusat Kargo KLIA.

Operasi yang dinamakan Op Airways hasil intipan Bahagian Perisikan SPRM selama tiga bulan.

Enam pegawai kastam dan lapan orang awam, termasuk enam pengarah syarikat telah ditahan dalam operasi yang dijalankan sekitar KLIA dan ibu negara petang semalam.

Menurut sumber, SPRM telah menahan dua lori yang keluar dari pusat pemeriksaan kargo KLIA dan serentak itu, serbuan secara besar-besaran telah dilakukan di dua gudang penyimpanan syarikat-syarikat tersebut.

Hasil pemeriksaan bersama Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah menemui 32,000 vape yang dianggarkan cukai bernilai RM1.9 juta di dalam lori yang ditahan.

Sementara itu, hasil serbuan di salah sebuah gudang telah menemui sebanyak 90,000 unit vape yang dianggarkan cukai bernilai RM5.4 juta yang tidak dibayar pada JKDM.

“Di sebuah gudang lagi, SPRM turut menemui berpuluh ribu unit vape yang melibatkan jutaan ringgit yang tidak dibayar cukai pada JKDM.

“Setakat ini, hasil serbuan mendapati negara kehilangaan hasil kutipan cukai kira-kira RM8 juta, di mana kandungannya juga dikhuatiri membahayakan kesihatan pengguna,” katanya.

Tambah sumber, hasil intipan yang dijalankan kesemua vape yang diseludup langsung tidak diikrarkan dan tiada sebarang dokumen dicatatkan.

Ini menyerupai modus operandi kontena terbang dan pegawai-pegawai penguat kuasa yang bertugas didapati menerima ribuan ringgit bagi setiap kontena tanpa melalui mesin imbasan atau sebarang pemeriksaan.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009.

Dalam pada itu, kesemua enam pegawai kastam, empat pengarah syarikat dan dua individu yang ditahan telah direman selama empat hari sehingga 25 Januari 2025.

Seorang lagi pengarah syarikat direman selama lima hari sehingga 26 Januari 2025 dan seorang lagi pengarah syarikat dilepaskan dengan jaminan SPRM.

Perintah reman telah dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Kesemua suspek lelaki berusia lingkungan 20 hingga 60-an telah ditahan antara jam 8 malam semalam hingga 1 pagi tadi di sekitar Lembah Klang dan juga Putrajaya.

SPRM turut menyita wang berjumlah kira-kira RM 250,000 dan juga empat utas jam tangan, tujuh utas anting-anting, seutas rantai, tiga utas gelang tangan, dua bentuk cincin, satu pouch, dua beg tangan wanita, seutas tali pinggang, satu unit pemacu keras (hard drive), satu unit monitor, dua buah unit pemprosesan pusat (CPU) dan dua buah lori. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here