KUANTAN – Tiga murid Orang Asli dari Sekolah Kebangsaan Keledang, Pekan merekodkan kejayaan luar biasa pada Pertandingan 26th International Robot Olympiad 2024/2025 di Busan, Korea Selatan semalam.
Fizrey Rovince A/L Ronachai, Hafiezie A/L Azwanizizi dan Matthew Jambai A’L Karong berjaya meraih emas bagi kategori Robotik Inovasi Sekolah Rendah (10-13 tahun) mengalahkan wakil daripada 25 negara lain dalam kategori tersebut dalam acara yang berlangsung selama empat hari itu.
Pingat perak dimenangi pasukan pelajar daripada Korea Selatan, manakala pelajar daripada New Zealand memenangi pingat gangsa bagi kategori itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengucapkan tahniah di atas pencapaian membanggakan tiga pelajar terbabit melalui hantaran di Facebook.
Beliau berkata, kejayaan itu membuktikan anak-anak dalam kalangan masyarakat orangĀ asli mempunyai potensi besar untuk berjaya berbekalkan keazaman yang tinggi.
“Anak-anak semua telah membuktikan anak Pahang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
“Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus berinovasi dan mengharumkan nama negeri serta negara,”katanya. – MalaysiaGazette