PETALING JAYA – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengambil tiga pendekatan strategik bagi mengendali peningkatan jumlah kenderaan di lebuh raya sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina.
Pengarah Urusannya, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, strategi itu, merangkumi pengurusan trafik dan insiden yang lebih berkesan, pengagihan trafik serta keselesaan pengguna.
“Sempena musim perayaan, PLUS akan mengaktifkan laluan Smart Lane di 25 lokasi utama bagi memastikan pergerakan trafik di kawasan kritikal lebuh raya berjalan lancar.
“Selain itu, aplikasi MyPLUS-TTA dapat memudahkan pengguna lebuh raya merancang perjalanan sekali gus membantu pengagihan trafik,” katanya pada sesi taklimat persediaan PLUS menghadapi pertambahan trafik sempena perayaan itu, di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Supt Khairul Azhar Ismail; Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Tan Kim Loon dan Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi.
Selain itu, Nik Airina berkata, PLUS juga akan menempatkan kira-kira 4,500 petugas termasuk 490 anggota rondaan dan 50 anggota Pasukan Bantuan Kecemasan (ERT), untuk menguruskan insiden lebuh raya.
Bagi meningkatkan keselesaan pengguna, PLUS menambah baik kemudahan awam di 50 lokasi dan menyediakan 50 tandas kabin.
Sementara itu, Khairul Azhar berkata, sebanyak 6,956 pegawai dan anggota polis bertugas pada musim perayaan tersebut bagi membantu dan melancarkan pergerakan pengguna jalan raya. – Bernama