KOTA TINGGI – Ribuan ikan dan udang bertaburan selepas sebuah lori membawa muatan tersebut terbalik di Jalan Kota Tinggi-Mersing sebelum simpang Felda Mawai, di sini, hari ini.
Orang ramai yang melihat kemalangan itu dilihat mengambil peluang mengutip ikan dan udang yang memenuhi bahu jalan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, kemalangan pada pukul 9.20 pagi itu membabitkan dua buah kereta dan sebuah lori.
“Kemalangan dipercayai berpunca daripada sebuah kereta Naza melanggar belakang kereta Perodua Myvi menghala dari Johor Bahru ke Mersing.
“Akibatnya Myvi berkenaan masuk laluan bertentangan lalu bertembung dengan lori yang datang arah bertentangan sebelum terbalik ke bahu kiri jalan.
“Tiada kecederaan yang berlaku dan kes saman dikeluarkan di bawah Rule 10 LN 166/59. Ketiga- tiga pemandu telah sudah membuat laporan kemalangan,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum itu, tular video berdurasi 31 saat memaparkan orang ramai mengutip udang dan ikan terbabit. – MalaysiaGazette